Anda di sini

Johor cadang wajibkan murid tahun satu buka SSPN/SSPN-I

Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor bercadang mewajibkan ibu bapa atau penjaga murid yang akan memasuki tahun satu pada tahun depan untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN/SSPN-i).         

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan bagi menjayakan cadangan itu.      

“Menerusi Bajet 2017, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM25 juta bagi memberi insentif khas RM50 kepada setiap murid tahun satu dalam bentuk akaun SSPN/SSPN-i di mana ibu bapa perlu membuka akaun atau membuat simpanan sekurang-kurangnya RM50 dalam akaun bagi melayakkan anak mereka menerima insentif itu. 

“Tahun depan, kerajaan Johor hendak wajibkan ibu bapa atau penjaga murid yang memasuki tahun satu untuk membuka akaun bagi memanfaatkan murid dan merebut peluang kerana insentif ini hanya layak kepada mereka yang mempunyai akaun SSPN/SSPN-i,” katanya.   

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran SSPN-i Plus peringkat negeri Johor di tapak Ekspo Johor Berkemajuan, Kota Iskandar di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.       

Ayub berkata langkah mewajibkan pembukaan akaun SSPN/SSPN-i itu juga selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menggalakkan ibu bapa atau penjaga membuat simpanan pendidikan berbanding bergantung kepada pinjaman pendidikan semata-mata.        

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata pembudayaan penabungan dalam SSPN/SSPN-i adalah bagi mengurangkan pergantungan terhadap pinjaman pendidikan semakin menunjukkan senario positif.       

Beliau berkata pada 2014, seramai 207,477 pelajar yang memasuki universiti awam dan swasta direkodkan membuat pinjaman dengan PTPTN namun, trend pelajar yang membuat pinjaman semakin menurun kepada 195,373 orang pada 2015 serta 177,372 orang pada tahun lepas berikutan pelajar menggunakan simpanan SSPN/SSPN-i berbanding pinjaman bagi membiayai pengajian mereka.         

“Isu sekarang adalah graduan dibebani hutang apabila selesai pengajian kerana pinjaman. Jadi, kita mahu elak beban hutang ini menerusi simpanan sejak kecil,” katanya.         

“Pada 2016, sebanyak RM53.5 juta simpanan SSPN/SSPN-i dikeluarkan untuk membiayai pengajian dan jumlah itu meningkat kepada RM90.9 juta pada 2015 dan RM141.2 juta pada tahun lepas.

“Ini membuktikan kebergantungan kepada pinjaman semakin kurang dan beralih kepada menggunakan simpanan,” katanya yang menyambut baik cadangan mewajibkan simpanan bagi murid Tahun Satu demi pembangunan modal insan akan datang. — Bernama

Advertisement