Anda di sini

SUHAKAM buat siasatan awam kehilangan Pastor Raymond dan tiga yang lain

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) akan mengadakan siasatan awam berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh, aktivis sosial Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Hilmi bermula 19 Okt ini.

SUHAKAM dalam kenyataan semalam berkata, anggota panel siasatan terdiri daripada barisan pesuruhjayanya iaitu Datuk Mah Weng Kwai sebagai pengerusi dan  Datuk Dr Aishah Bidin serta Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

“Sehingga kini, SUHAKAM telah merekodkan 35 keterangan daripada saksi-saksi kesemua kes dan proses siasatan bertujuan mencari jawapan serta petunjuk berhubung situasi ini,” menurut kenyataan itu.

Pastor Koh, 62, hilang selepas dilarikan sekumpulan lelaki yang berkonvoi menggunakan beberapa buah kereta pada 13 Feb lepas manakala Amri, 44, pula dilaporkan hilang sejak tahun lalu.

Pastor Joshua dan isteri pula dilaporkan kali terakhir dilihat oleh rakan-rakannya pada November tahun lepas sebelum hilang tanpa sebarang berita.

Menurut kenyataan itu, siasatan bagi menentukan terma rujukan sama ada kes kehilangan tersebut adalah seperti ditakrifkan oleh Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang daripada Tindakan Penghilangan Paksa, atau ia adalah kes-kes kehilangan sukarela yang melanggar undang-undang jenayah dan/ atau sivil dan/ atau undang-undang hak asasi manusia.

“Sekiranya mana-mana terma rujukan siasatan dapat dipastikan, maka siasatan seterusnya ialah ‘bagaimana pendakwaan pelanggaran itu berlaku dan juga untuk mengenal pasti individu atau agensi bertanggungjawab’.

“Selain itu, ia juga akan menyiasat sama ada arahan pentadbiran atau prosedur atau aturan yang menyumbang kepada pelanggaran tersebut; dan juga untuk pertimbangan sama ada pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia telah mengambil tindakan yang memadai,” menurut kenyataan itu.

Menurut Suhakam siasatan itu akan diadakan di Bilik Inkuiri SUHAKAM, Tingkat 13, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, di Jalan Sultan Ismail, di sini dan dijangka berakhir pada 17 Nov ini. — Bernama

Advertisement