Anda di sini

Raja-Raja Melayu bimbang isu perpaduan kaum

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persidangan Raja-Raja Melayu semalam menerusi kenyataan akhbar menyatakan kebimbangan berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum di negara ini.

Dalam kenyataan ditandatangani Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama terkandung di dalam Perlembagaan Negara, yang digubal berasaskan persefahaman, negara ini rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

“Sejak kebelangkanan ini, tindakan-tindakan individu-individu tertentu yang bersifat keterlaluan, dibimbangkan boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum.

“Raja-Raja berpendirian, isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu terbabit dengan dan dilakukan atas nama Islam,” demikian menurut kenyataan akhar dikeluarkan sempena mesyuarat Persidangan Raja-Raja ke-247 di Astana Negara .

Menurut kenyataan itu, Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajid dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan bersifat keterlaluan serta memisahkan rakyat.

“Raja-Raja amat menghargai pendirian tegas yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor mengenai kes 'dobi untuk Muslim saja' di negeri Johor, begitu juga pendirian dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Perlis dalam kes serupa di Negeri Perlis.

“Pendirian baginda berdua mencerminkan keprihatinan tentang pentingnya umat Islam mengamalkan sikap toleran, sederhana dan insklusif di dalam negara yang warganya terdiri daripada masyarakat berbilang agama, berbilang kaum,” tegas kenyataan akhbar itu.

Menurut Raja-Raja, perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia.

Setelah 60 tahun mencapai kemerdekaan, amatlah penting untuk rakyat terus mengamalkan nilai-nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan serta didukung oleh semangat terkandung di Rukun Negara, tambahnya.

Kenyataan itu berkata, Rukun Negara yang diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong keempat, pada 31 Ogos 1970, menggariskan lima cita-cita dan lima prinsip , harus menjadi kompas pedoman oleh semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya.
 

  • oleh
  • Advertisement