Anda di sini

Berangan-angan sertai ‘The Apprentice’

Advertisement

Pelajar akhirnya gapai impian melalui program serupa ‘Young SocialPreneur 2017’

KUANTAN: Pelajar politeknik Muhammad Hafeez Amran membesar menonton program realiti televisyen popular ‘The Apprentice’ dan kadangkala membayangkan dirinya seorang daripada peserta.

Siapa sangka beliau bukan sahaja menyertai tetapi turut mengetuai sekumpulan 20 pelajar Politeknik Melaka dalam program serupa – ‘Young SocialPreneur 2017’ – yang memerlukan mereka meraih laba untuk tujuan kebajikan menerusi kemahiran keusahawanan mereka.

Muhammad Hafeez, 20, tidak mampu menahan kegembiraan apabila kumpulannya, Team Warrior diumumkan sebagai juara Young SocialPreneur yang pertama selepas projek mereka ‘Kenduri Charity@Nasom Melaka’ mengaut keuntungan sebanyak RM35,322.

Saya terkelu seketika...kami tengok projek pasukan lain dan kesemuanya bagus-bagus. Namun ini rezeki kami selepas berbulan memerah keringat dan air mata untuk projek ini,” katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Team Warrior menewaskan 10 pasukan lain yang merangkumi politeknik dan kolej komuniti untuk membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Menceritakan tentang projek mereka, Muhammad Hafeez berkata mereka diberikan RM1,000 sebagai modal dan tempoh tiga bulan bermula Julai lalu untuk menggandakan wang itu sebanyak mungkin bagi disalurkan kepada badan kebajikan pilihan mereka.

Katanya mereka bersetuju untuk memilih Persatuan Kebangsaan Austism Malaysia (NASOM) cawangan Melaka memandangkan seorang pensyarah mereka, Siti Salbiah Ahmad Sharif mempunyai seorang anak perempuan yang mengalami autism.

Kenduri merupakan satu cara terbaik untuk mengumpulkan orang ramai. Justeru kami menggunakan idea menjual tiket kenduri berharga RM22. Bagi mengurangkan perbelanjaan, kami cuba dapatkan penajaan sebanyak mungkin. Kami juga dapat berjimat dari segi kos venue kerana kenduri diadakan di pusat NASOM Melaka.

Kami manfaatkan media sosial sebagai medium pengiklanan. Kami buka jualan tiket ke seluruh negara dengan memberi pilihan kepada mereka yang tidak dapat datang agar sumbangkan tiket mereka ke rumah anak-anak yatim,” katanya menambah beliau terharu dengan kerjasama rakan-rakan sepasukan.

Muhammad Hafeez mengaku sebagai ketua kumpulan, saat paling menggentarkannya ialah ketika membentangkan kertas kerja mereka di hadapan barisan hakim, terutama Ketua Eksekutif PKT Logistic Group Sdn Bhd Datuk Michael Tio yang disifatkannya memainkan peranan Donald Trumph dalam The Apprentice.

Saya ingat beliau akan gunakan ayat terkenal ‘you are fired’ (anda dipecat), namun beliau langsung tidak menggunakannya termasuk kepada pasukan yang tersingkir. Beliau beritahu kami yang beliau tidak mahu menjatuhkan semangat kami (dengan menggunakan ayat itu) kerana beliau kagum dengan usaha yang kami curahkan dalam pertandingan ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Azmira Athirah Mohamed, 20, dinamakan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik berdasarkan prestasi cemerlangnya mengetuai Synergy Team menganjurkan Larian Amal Teluk Chempedak yang berjaya mengumpulkan 568 peserta.

Beliau berkata kumpulannya berjaya mengumpul RM12,500 mengatasi sasaran RM10,000 yang ditetapkan mereka untuk disumbangkan kepada Majlis Kanser Kebangsaan.

Saya hanya menyedari nama saya yang diumumkan selepas beberapa ketika sebab sebelum itu telah diumumkan beberapa kumpulan yang mengumpul keuntungan lebih baik daripada kami. Mungkin hakim nampak kemahiran kepimpinan saya kerana mereka menyertai perbincangan kumpulan kami hanya sekali.

Sebagai ketua, saya galakkan anggota kumpulan untuk berkongsi idea. Kami semua memilih untuk menyertai pertandingan ini, justeru semua anggota harus diberi peluang yang sama agar tidak ada yang berasa kecewa kerana ideanya ditolak,” katanya.

Sementara itu, Tio berkata 11 pasukan yang layak ke pusingan akhir pertandingan yang dianjurkan bersama oleh POLISAS, PKT Logistic Group dan Feruni Ceramich Sdn Bhd tersebut berjaya meraih keuntungan keseluruhan berjumlah RM103,879.70.

Beliau menyifakan pencapaian itu sebagai cemerlang memandangkan pertandingan ini diadakan buat kali pertama justeru tidak ada rujukan yang dapat dijadikan panduan oleh peserta dari segi perancangan strategi sedang pada masa sama mereka perlu meneruskan pengajian.

Mereka diberitahu bahawa jumlah keuntungan bukan kriteria utama dalam pemilihan pemenang. Semua aspek diambil kira seperti kerjasama, idea perniagaan dan sejauh mana mereka mampu menjual idea itu.

Kami lihat banyak idea yang bagus semasa pusingan temu duga namun tidak dibentangkan dengan baik. Sesetengah tidak mampu menjawab soalan kami justeru disingkirkan. Kami beritahu mereka sebab-sebab mereka tersingkir agar mereka boleh bangkit semula pada masa depan,” katanya.

Sebanyak 47 pasukan yang dianggotai 885 pelajar menyertai pertandingan namun hanya 11 pasukan layak.

Sementara itu Yap berkata beliau mahu melihat pertandingan tersebut diteruskan tahun depan dengan bilangan penyertaan yang lebih besar termasuk dari universiti dan kolej swasta.

Kita mahu melahirkan pelajar yang holistik bukan sekadar fokus pada akademik. Kemahiran keusahawanan dapat dimanfaatkan selepas tamat pengajian dan membuka peluang pekerjaan kepada yang lain. Memang bagus dapat melihat pelajar-pelajar kita dilatih dengan baik untuk memainkan peranan penting pada masa depan,” katanya. — Bernama

Advertisement