Anda di sini

Polis terima maklumat wujud unsur sabotaj ‘Better Beer Festival 2017’

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa keputusan tidak membenarkan ‘Better Beer Festival 2017’ diadakan adalah kerana ia menerima maklumat  wujud  perancangan untuk mensabotaj majlis itu jika ia diteruskan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, keputusan untuk tidak membenarkannya bukan sesekali dibuat atas sebab dirasakan ada ancaman.

Beliau berkata, penganjuran festival yang sama pada tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah disekat kerana tidak wujud maklumat mengenai ancaman sedemikian sebelum ini.

Tidak ada sangkut-paut dengan sensitivi keagamaan, perkauman ataupun desakan politik. PDRM tidak akan sesekali tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak yang mahu agar maklumat keselamatan didedahkan, khususnya dari mereka yang daif tentang keperluan menjaga kerahsiaan operasi,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Fuzi berkata PDRM juga tidak akan menggadaikan keselamatan rakyat dan harta benda awam hanya kerana wujud tekanan daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

Keputusan yang diambil adalah perlu kerana kita semua harus faham bahawa memerangi ancaman militan bukanlah sesuatu yang mudah.

Kuasa-kuasa besar dunia yang memiliki kecanggihan teknologi sekalipun gagal menyekat negara mereka daripada terus menjadi sasaran militan,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata tindakan pencegahan lebih berkesan daripada membiarkan jiwa terkorban dahulu, sebelum tindakan eksekutif diambil.

Beliau berkata PDRM tidak akan berganjak daripada keputusan yang telah dibuat demi menjaga keselamatan dan kepentingan rakyat negara ini kerana ancaman yang wujud adalah nyata serta tidak boleh dikompromi.

The Better Beer Festival 2017 sepatutnya diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini di sebuah premis di Kuala Lumpur turut tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atas faktor berkaitan pelesenan. — Bernama

Advertisement