Anda di sini

Polis mahu sekolah kongsi maklumat tangani gejala jenayah

Advertisement
 Zulkifli (berkuda, tengah) beramah mesra bersama Zainab (tiga kanan) sempena Program Komuniti Polisi di sekolah, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
KONGSI MAKLUMAT: Zulkifli (berkuda, tengah) beramah mesra bersama Zainab (tiga kanan) sempena Program Komuniti Polisi di sekolah, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis amat mengalu-alukan kerjasama pihak sekolah untuk berkongsi maklumat dan laporan bagi menangani gejala tidak sihat dan aktiviti berkaitan jenayah dalam kalangan pelajar, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, polis akan menghantar seorang anggota atau pegawai polis (seranta) bagi memantau keadaan di sekolah-sekolah pada setiap minggu mengikut keperluan.

Oleh itu, pihak sekolah tidak perlu takut dan tampil berkongsi maklumat kepada anggota atau pegawai polis bertugas tentang apa jua jenayah yang dilakukan oleh para pelajar.

Kalau ada isu pelajar terlibat dalam gengsterisme, dadah mahupun aktiviti jenayah lain, pihak sekolah boleh melaporkan dengan menghubungi anggota polis bertugas,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Hari Anugerah Kualiti 2017 di SMK Taman Kosas, Ampang di sini semalam.

Beliau berkata, guru-guru juga boleh menghantar terus laporan kepada polis menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan merakam video dan gambar tentang aktiviti tidak sihat para pelajar terlibat.

Saya meminta guru sekolah agar melaporkan segera isu jenayah melibatkan pelajar sekolah kepada pegawai seranta yang menjadi perantara PDRM dengan sekolah supaya kerjasama erat antara pihak sekolah dan polis boleh dicapai,” katanya.

Zulkifli menegaskan bahawa pelajar berumur belasan tahun berada dalam tempoh umur yang penting dalam pembentukan sikap dan sahsiah diri agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

Ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak dan disiplin para pelajar kerana tanggungjawab itu bukan terletak di bahu pihak sekolah.

Mereka (pelajar sekolah) hanya  berada di sekolah cuma dalam tempoh tujuh hingga sembilan jam. Selebihnya mereka berada di rumah, di luar sekolah yang mana ibu bapa dan komuniti masyarakat perlu mainkan peranan membimbing lantas mengelak mereka daripada terjerumus dalam kes penyalahgunaan dadah dan jenayah,” katanya. — Bernama

Advertisement