Anda di sini

Felipe VI burukkan lagi krisis Catalonia

Advertisement

Campur tangan dramatik Raja Sepanyol itu tidak menjadi malah dikecam

 Gambar serahan Casa Real (Rumah Diraja Sepanyol) menunjukkan Felipe VI berucap kepada negara mengenai situasi krisis kemerdekaan Catalonia di Madrid, kelmarin. — Gambar AFP
MURKA: Gambar serahan Casa Real (Rumah Diraja Sepanyol) menunjukkan Felipe VI berucap kepada negara mengenai situasi krisis kemerdekaan Catalonia di Madrid, kelmarin. — Gambar AFP

BARCELONA: Sepanyol bersiap sedia untuk pergolakan politik selanjutnya semalam selepas krisis berhubung tuntutan Catalan bagi kemerdekaan bertambah buruk setelah Raja Felipe VI menggesa pihak berkuasa untuk mempertahankan ketertiban perlembagaan.

Campur tangan Felipe yang dramatik lewat kelmarin bertujuan untuk meredakan krisis politik paling buruk di Sepanyol sejak beberapa dekad yang lalu, tetapi berisiko memburukkan lagi kebencian dan ketegangan di wilayah tersebut.

Baginda bercakap selepas ratusan ribu orang Catalan berhimpun dengan marah mengenai keganasan oleh polis ke atas pengundi sewaktu referendum yang diharamkan mengenai kemerdekaan bagi wilayah mereka Ahad lepas.

Kerajaan pusat dan mahkamah kebangsaan menganggap referendum itu sebagai tidak sah.

Namun para pemimpin Catalan mendakwa keputusan menunjukkan wilayah itu ada hak untuk memisahkan diri dan berkata mereka mungkin akan mengisytiharkan kemerdekaan secara sehala.

Felipe, 49, mengetepikan nada baginda yang berhati-hati sebelum ini mengenai ketegangan dengan Catalonia, dan menuduh para pemimpinnya bertindak di luar batas undang-undang.

Dengan kelakuan mereka yang tidak bertanggungjawab, mereka mungkin membahayakan kestabilan ekonomi dan sosial di Catalonia dan seluruh Sepanyol,” kata baginda.

Ia adalah tanggungjawab kuasa kerajaan yang sah untuk memastikan ketertiban perlembagaan.”

Felipe mengulangi seruan baginda sebelum ini bagi keharmonian antara rakyat Sepanyol.

Namun selepas keganasan Ahad lepas, ia adalah satu usaha yang rumit bagi seorang raja Sepanyol untuk mengimbangi keadaan.

Orang yang menonton dalam sebuah bar di Barcelona bersiul dan mencemuh selepas ucapan baginda.

Kesatuan polis dan pakar politik memberi amaran, kerajaan Sepanyol berisiko kehilangan kawalan ke atas wilayah timur laut itu.

Ia dianggap sebagai krisis politik terburuk di Sepanyol sejak satu cubaan kudeta oleh angkatan tentera pada 1981.

Ia dipatahkan oleh ayahanda Felipe, Raja Juan Carlos I, juga dalam satu kemunculan yang tegas menerusi televisyen.

Ratusan ribu penunjuk perasaan di Barcelona kelmarin menjerit agar pasukan keselamatan negara keluar dari wilayah itu, dan melabel mereka sebagai tentera penjajah.

Dalam gangguan Ahad lepas, pemimpin wilayah Catalan, Carles Puigdemont berkata hampir 900 orang telah menerima rawatan, tetapi pihak berkuasa tempatan mengesahkan seramai 92 orang cedera. 

Empat dimasukkan ke hospital, dua dalam keadaan serius. Kerajaan kebangsaan berkata lebih 400 anggota polis cedera.

Penunjuk perasaan yang marah berhimpun di luar hotel Catalan di mana pasukan keselamatan kerajaan menginap, kata kumpulan polis kelmarin.

Dua buah hotel berkata mereka memaksa anggota polis yang tinggal di sana untuk meninggalkan hotel, atas arahan pegawai tempatan.

Catalonia, wilayah perindustrian kaya dengan 7.5 juta penduduk, menyumbang kepada satu perlima daripada ekonomi Sepanyol.

Ia memiliki bahasa dan tradisi budaya sendiri.

Ia sudah menuntut kemerdekaan selama berabad-abad tetapi meningkat selepas krisis ekonomi sejak beberapa tahun yang lalu.

Madrid menyalahkan pihak berkuasa wilayah Catalan bagi ketegangan yang berlaku.

Kerajaan Catalonia sedang menolak populasi ke lurah dan menghasut pemberontakan di jalanan,” kata Menteri Dalam Negeri Sepanyol Juan Ignacio Zoido kelmarin.

Beliau berkata kerajaannya akan mengambil semua langkah perlu untuk menghentikan perbuatan gangguan.

Kerajaan wilayah pimpinan Puigdemont  mendakwa 2.26 juta orang mengambil bahagian dalam pungutan suara itu, atau lebih 42 peratus pengundi, tetapi undian diadakan tanpa senarai atau pemerhati undian biasa.

Puigdemont berkata beliau akan mengemukakan keputusan referendum kepada parlimen wilayah, di mana penggubal undang-undang pemisah memegang kuasa majoriti, mungkin satu langkah ke arah deklarasi kemerdekaan.

Kerajaan wilayah berkata 90 peratus mengundi menyokong kemerdekaan, tetapi tinjauan pendapat menunjukkan penduduk berbelah bahagi. — AFP

Advertisement