Anda di sini

Guru cabul dua murid

Advertisement
 

KUCHING: Seorang guru sekolah rendah di Sungai Menyan, Serian ditahan selepas disyaki mencabul dua murid Darjah Lima, hari ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar, suspek yang berusia 37 tahun telah ditangkap setelah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serian petang tadi.

"Pada hari ini sekitar jam 3.00 petang, pasukan JSJ Serian telah menangkap suspek setelah dia dipanggil ke IPD Serian dan suspek akan dibawa untuk tahanan reman di Mahkamah Serian pagi esok," katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini. 

Dev, berdasarkan fakta kes berkata, guru terbabit dikatakan membuat amang seksual fizikal terhadap kedua-dua mangsa yang masing-masing berumur 10 tahun 11 bulan dan 10 tahun 9 bulan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14 (a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," jelasnya.

Beliau memberitahu pada Mei 2017, mangsa 1 (10 tahun 11 bulan) telah dipanggil oleh suspek ke pejabat Hal Ehwal Murid di sebuah sekolah di Sungai Menyan, Serian.

Jelasnya, suspek telah mengunci pintu bilik dan mencabul mangsa.

Sementara itu, mangsa kedua (umur 10 tahun 9 bulan) dicabul pada Ogos 2017, yang mana mangsa dibawa oleh suspek ke sebuah bilik stor di sekolah yang sama. 

Tambahnya, sebaik sampai di bilik stor tersebut, suspek cuba mencabul mangsa tetapi sempat dihalang oleh mangsa sebelum mangsa 2 terus keluar dari bilik stor dan lari masuk ke dalam kelas.

"Keluarga kedua-dua mangsa mendakwa bahawa mereka telah mengadu kepada pihak sekolah perkara ini. 

"Mereka juga mendakwa bahawa tidak ada tindakan atau maklum balas daripada pihak sekolah dan ini telah memaksa mereka membawa kedua-dua mangsa untuk membuat laporan polis hari ini,” ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement