Anda di sini

Perbanyak hubungan bangun industri huluan, hiliran

Advertisement
 Naroden (kiri) menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Korporat Cahya Mata Sarawak (CMS) Datuk Isaac Lugun selepas perasmian persidangan di sebuah hotel terkemuka di Miri semalam.
TERIMA KASIH: Naroden (kiri) menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Korporat Cahya Mata Sarawak (CMS) Datuk Isaac Lugun selepas perasmian persidangan di sebuah hotel terkemuka di Miri semalam.

MIRI: Kerajaan Sarawak mahu lebih banyak hubungan perindustrian diwujudkan untuk pembangunan meluas industri huluan dan hiliran.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hubungan membantu melengkapkan rantaian nilai (value chain) industri yang ditubuh di negeri ini.

“Sarawak memiliki sumber semula jadi luas dan keluasan tanah tetapi dengan populasi kecil seramai 2.8 juta orang. Justeru cara untuk ke depan adalah perindustrian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwakili Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais pada perasmian Persidangan Ferro Aloi dan Keluli Antarabangsa Asia Pasifik di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Negeri ini mula memanfaatkan potensi tenaga hidro yang menyediakan sumber tenaga bersih dan berdaya saing ke arah memperkasa agenda perindustrian.

“Sarawak berupaya memenuhi keperluan tenaga yang diperlukan oleh industri baharu pada masa depan,” katanya sambil menambah, sebuah kerajaan mesra perniagaan banyak dasar menguntungkan dilaksana menjadikan kos menjalankan perniagaan di Sarawak rendah.

“Iklim pelaburan kita menarik dan berdaya saing kerana kepimpinan Ketua Menteri yang menyediakan kestabilan politik dan polisi mesra perdagangan.

Kestabilan politik yang kuat ini membolehkan kita  terus menikmati keamanan, keharmonian dan kemakmuran,” jelasnya.

Beliau menambah, pelabur tempatan dan asing yakin dengan kepimpinan tertinggi negeri serta keupayaan kita menawarkan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan yang diperlukan kepada mereka.

Untuk tempoh dua tahun lalu, Sarawak merupakan destinasi pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia.

Sejak penubuhan SCORE, terdapat 22 projek dengan nilai pelaburan RM33 bilion dengan beberapa projek telah beroperasi dan beberapa lagi dalam pelbagai peringkat pembangunan.

Ini tidak termasuk projek cadangan loji keluli dan methanol masing-masing bernilai RM12.87 bilion dan RM8.85 bilion

Dalam pada itu, aktiviti kali keempat itu dianjurkan Chin Metal Information Tech Co LTD bersama OM Holding Ltd (Singapura), Persatuan Industri Ferro Aloi China dan OM Material (Sarawak) Sdn Bhd.

Peserta terdiri daripada pengusaha industri ferro aloi, pelanggan dan penjual keluli dari rantau Asia Pasifik termasuk Jepun, Korea Selatan, India, Afrika Selatan, Singapura, Timur Tengah dan beberapa negara lain.

Persidangan memberi fokus kepada polisi ‘One Belt One Road China’ dan untuk merealisasikan kepentingan Malaysia serta mengembangkan peluang khasnya di Sarawak.

Peserta boleh merebut peluang daripada rangkaian dan pertukaran dengan meneroka setiap peluang pelaburan dan kerjasama, membina landasan untuk penyelidikan sumber ferro aloi dan keluli dan membangunkan industri huluan dan hiliran di Sarawak.

Antara penceramah ialah Pengarah Unit Perancang Negeri Lester Matthew tentang peluang perniagaan di Sarawak, Pengarah Metal Division Malaysian Investment and Development Faridah Abdullah tentang peluang industri ferro aloi di Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot untuk topik pembangunan infrastruktur SCORE.

  • oleh
  • Advertisement