Anda di sini

Pemimpin masyarakat perlu miliki ilmu sebagai asas tadbir kawasan

Advertisement

SRI AMAN: Setiap tuai rumah mahupun pemimpin masyarakat peringkat akar umbi harus mempunyai ilmu pengetahuan meluas dalam pelbagai bidang sebagai pegangan asas mentadbir urus kawasan diperuntuk kepada mereka.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis menjelaskan, setiap tuai rumah atau pemimpin yang mempunyai bekalan ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang mampu bersaing meningkatkan mutu serta kualiti kehidupan masyarakat ditadbir mereka.

Beliau menegaskan bahawa mereka yang dipilih sebagai tuai rumah mahupun pemimpin masyarakat harus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, tanggungjawab, jujur serta amanah agar setiap agenda pembangunan dicanang oleh kerajaan mampu dilaksana dengan baik demi kepentingan masyarakat.

“Tuai rumah atau pemimpin masyarakat harus saling bergandingan antara satu sama lain dengan rakyat di bawah pentadbiran serta berkongsi setiap masalah seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik agar tidak mengganggu ketenteraman dan keharmonian sedia ada,” katanya.

Harden berkata mereka perlu peka dengan setiap masalah yang timbul dan jangan sesekali menyembunyikannya daripada pengetahuan rakyat kerana jika masalah tidak diselesai, pasti impak negatif akan berlaku dan mengundang masalah berlanjutan kepada diri sendiri dan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ringgit Bayang, Kampung Ibol Undop, Sri Aman bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman dekat sini semalam.

Selain itu katanya, setiap tuai rumah dan pemimpin masyarakat digalak menjalin hubungan rapat dengan pelbagai agensi kerajaan supaya setiap masalah timbul dapat diselesai.

Jelasnya, selain itu tuai rumah dan pemimpin masyarakat harus bijak menggunakan khidmat serta bantuan yang diwujudkan agensi kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

“Tuai rumah dan pemimpin masyarakat hendaklah mengikis sikap malu berdepan agensi kerajaan dan jangan sekali mendiamkan masalah, supaya agensi sedia ada dapat membantu menyelesaikannya,” katanya.

Turut hadir Pegawai Kanan Bomba II Bahagian Sri Aman Jilin Itar, Pembantu Pembangunan Masyarakat KEMAS Bahagian Sri Aman Kelvin Lambai serta yang lain.

Pada majlis berkenaan, Harden turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 bagi menambah peruntukkan RM10,000 yang disalurkan beliau sebelum ini.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan ceramah keselamatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman, taklimat oleh KEMAS dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman.

Dalam pada itu juga, seramai 130 penduduk daripada lima rumah panjang menyerahkan borang keahlian Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang di mana borang keahlian berkenaan telah diterima oleh Pengerusi SUPP Cawangan Simanggang Datuk Francis Harden Hollis.

Advertisement