Anda di sini

LAKU baiki saluran paip bocor dan rosak

Advertisement
 Pekerja masih bertungkus-lumus mengorek tanah di kawasan tersebut bagi membolehkan kerja pembaikan seterusnya dilakukan kelak.
PERBAIKI: Pekerja masih bertungkus-lumus mengorek tanah di kawasan tersebut bagi membolehkan kerja pembaikan seterusnya dilakukan kelak.

MIRI: Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) Management akan mengambil tindakan pembaikan dengan memasang ‘clamp’ pada bahagian saluran paip utama 800mm yang sebelum ini bocor dan rosak akibat kerja penggalian oleh pihak kontraktor Rabu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LAKU Wong Tiong Kai dalam kenyataannya di sini petang semalam menyatakan bahawa pihaknya tidak merancang menutup bekalan air sekali lagi untuk kerja pembaikan.

“Kerja membaiki sudah siap dilakukan pada hari ini (semalam) bagi mengurangkan kerosakan pada saluran paip utama tersebut.

“Malah kami akan memasang clamp pada bahagian yang rosak tersebut untuk menghentikan kebocoran berkenaan. Memandangkan kebocoran sekarang adalah pada tahap minimum, kami tidak merancang menutup bekalan air bagi kerja-kerja pemasangan tersebut,” tambahnya.

Manakala pada pagi semalam, pekerja terpaksa mengorek lubang berkenaan lebih besar lagi, bagi membolehkan pihak jurutera LAKU meneliti kerosakan pada saluran tersebut dan menentukan bentuk tindakan yang wajar diambil.

Mulai semalam bekalan air sudah pulih namun di beberapa kawasan tekanannya masih rendah.

Utusan Borneo difahamkan kebocoran berlaku pada saluran utama paip yang menyalurkan bekalan air bersih tersebut disebabkan pihak kontraktor secara tidak sengaja telah merosakkan saluran paip bawah tanah tersebut, ketika melakukan kerja-kerja di kawasan terbabit pada pagi Rabu lalu.

Kerosakan itu telah menyebabkan kebocoran dan memaksa LAKU menutup saluran paip utamanya itu sekali gus menyebabkan lebih 10,000 penduduk di kawasan utara bandar raya ini terjejas dari sekitar jam 9 pagi, kerana tiada bekalan air bersih.

Berikutan isu ketiadaan bekalan air berlaku mengejut pada 27 September itu juga, LAKU memohon maaf atas masalah yang tidak dijangka, dalam kenyataan rasminya dikeluarkan pada petang hari yang sama.

Sementara itu, Wong dalam kenyataan terdahulu mengakui keadaan tersebut telah menimbulkan banyak kesukaran kepada orang ramai kerana tiada notis dikeluarkan lebih awal seperti kebiasaannya.

“Sehubungan itu kami memohon maaf kepada pengguna atas masalah ini dan semua kesukaran yang timbul kerana kebocoran dan kerosakan yang berlaku terhadap saluran paip utama itu juga, adalah sesuatu yang tidak kami jangka,” tambahnya,

Menurut beliau saluran paip utama yang terjejas itu, menyalurkan air ke kawasan Piasau, Krokop, Jee Foh, Taman Yakin, Pujut 1 hingga Pujut 10, Pulau Melayu, Taman RBA, Tudan, Prima Villa, Lutong, Permyjaya, Senadin, Estet Perindustrian Kuala Baram dan Kompleks Kastam dan Imigresen Sungai Tujuh.

Wong memberitahu, kerja-kerja pembaikan pada awalnya dijangka siap pada jam 6 petang, hari sama (Rabu lalu), namun disebabkan terdapat saluran kabel bagi penyedia perkhidmatan lain di samping saluran paip tersebut, maka ia tertangguh.

“Penangguhan ini menyebabkan pihak LAKU hanya dapat membuka semula saluran bekalan air kepada penduduk, menjelang tengah malam dan jam yang seterusnya,” ujar beliau.  

“Kami mencuba sedaya upayauntuk memulihkan semula bekalan air tersebut secepat mungkin. Sehubungan itu kami amat menghargai kerjasama daripada pengguna yang amat memahami situasi yang berlaku,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Pujut Bruce Chai berkata mana-mana pihak yang ingin melakukan kerja mengorek atau menggerudi tanah di kawasan tertentu khususnya lokasi di mana saluran paip air, gas, elektrik malah saluran kabel bawah tanah terutama kabel optik dipasangkan, perlu ada prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka juga harus mengetahui kedudukan tepat setiap saluran di bawah tanah tersebut kerana kita bukan sahaja ada saluran paip air tetapi juga saluran gas dan kadang-kadang kabel telefon atau kabel optik.

“Jika perkara ini diabaikan ia boleh mendatangkan bahaya. Justeru pihak kontraktor perlu berhubung dengan koordinator bagi perkara ini, yang dikendalikan sama ada oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Majlis Bandaraya Miri (MBM),” tambahnya.

Katanya pada masa yang sama, pihak koordinator ini perlu turun padang dan melawat semula tapak tempat penggalian atau penggerudian dilakukan bagi memastikan ia tidak mengganggu atau menjejaskan saluran utiliti di bawah tanah.

“Ia juga merupakan langkah bagi mengelak kejadian seperti semalam (Rabu) berulang semula apabila hampir separuh penduduk di Miri terjejas apabila ia merosakkan saluran bekalan air utama di bandar raya ini.

“Utiliti ini perlu diberi perhatian dan saya rasa saluran paip kita tidak begitu tersusun dengan baik dan ia agak membimbangkan, kerana jika berlaku perkara seperti semalam (Rabu lalu) yang menjejaskan kemudahan pengguna, masyarakat akan cepat marah dan melenting, kerana ia perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement