Anda di sini

SLTA hantar bintang baharu untuk jalani latihan di Florida

Advertisement

KUCHING: Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) akan menghantar bintang baru Mohd Aiman Hamden untuk menjalani latihan pendedahan selama dua setengah bulan di Florida, Amerika Syarikat sebagai usaha membawa kariernya ke tahap yang lebih tinggi.

 Presiden SLTA Dato Patrick Liew berkata, Aiman telah menunjukkan prestasi memberangsangkan pada SUKMA 2016 di Sarawak dan menunjukkan potensi besar untuk pergi lebih jauh dalam sukan itu.

 Atlet berusia 16 tahun berasal dari Taman Sukma, Kuching itu sebelumnya salah seorang pelatih program pembangunan remaja negeri sebelum dipanggil menyertai skuad pelapis negara dua tahun dulu.

 Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu merupakan pemegang ranking nombor satu bawah 16 tahun dan ke-10 bawah 18 tahun kebangsaan.

 Aiman turut cemerlang pada Jelajah Remaja LTAM Pusingan Ketujuh Sabah yang diadakan di Kompleks Sukan Likas di mana beliau berjaya menggondol dua gelaran.

 Beliau menewaskan Muhammad Syabil 6-2 (berhenti akibat kecederaan) dalam aksi final bawah 16 tahun sebelum bergandingan dengan Muhammad Farid Wajdy untuk menewaskan Muhammad Syabil-Jimmy Leong 4-6, 6-4 (10-5) sekali gus merangkul kejuaraan acara beregu.

 “Beliau memiliki fizikal yang tegap dan fokus dalam gelanggang.

 Kita akan melatih beliau dengan lebih mendalam agar dapat mengikut jejak langkah pemain profesiaonal pertama kita, Mohd Assri Merzuki,” menurut Patrick.

 Aiman akan bemain dalam kategori bawah 18 tahun pada tahun depan di mana beliau bakal berdepan lawan yang lebih mencabar seperti Christian Didier Chin dan beberapa lagi pemain remaja terkemuka.

 “Walaupun tenis tidak dipertandingkan pada SUKMA 2018, SLTA memandang ke depan dan mempersiapkan beliau untuk menghadapi pertandingan ITF (Persekutuan Tenis Antarabangsa) dan akhirnya membantu beliau mendapatkan biasiswa sukan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara,” ujar Patrick.

 Aiman akan menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih Romania, Doru Sorin Murariu di Institut Kecergasan Pemain Tenis di Florida dari 29 September hingga 16 Disember ini.

 Pemain Sarawak yang turut berlatih di bawah Doru termasuk Ariez Elyaas Deen Heshaam, Aslina Chua An Ping, Alvin Teng, Rohaizat Achop Burhan Janang dan Low Zhe Han.

Advertisement