Anda di sini

Dr Rayong suntik semangat 261 peserta PSKPP Sri Aman ke Betong

Advertisement

SKRANG: Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa melepaskan 261 anggota pasukan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Bahagian Sri Aman untuk bertarung dalam kejohanan yang akan bermula esok di Betong.

 Pasukan itu akan menyertai semua acara yang dipertandingkan, kecuali bola jaring kerana tidak mempunyai jurulatih dalam sukan tersebut.

 Dalam ucapan pelepasan kontinjen, Dr Rayong berharap agar pasukan tersebut mampu bersaing dengan pasukan lawan seterusnya membawa pulang piala serta melakar sejarah kejohanan.

 Pada kejohanan sama tahun lepas di Kuching, PSKPP Sri Aman muncul naib johan.

 “Pada tahun ini, anda semua boleh lebih berjaya.  Bawa satu lagi kejayaan bagi bahagian anda.  Buatlah yang terbaik mungkin.

 Biarlah kejayaan anda menjadi kebangsaan pasukan, sekolah dan lebih-lebih lagi Bahagian Sri Aman,” kata Dr Rayong.

 Terdahulu, bercakap bagi pihak anggota pasukannya pada majlis yang sama, Pegawai Pendidikan Bahagian Sri Aman Vivian Mujah, mengucapkan terima kasih kepada Dr Rayong atas keprihatinan beliau meluangkan masa untuk memeriahkan majlis serta menyuntik semangat para peserta.

 Beliau juga berterima kasih kepada Dr Rayong kerana turut memberi dana sepanjang kejohanan merangkumi membeli pakaian, peralatan sukan dan keperluan lain.

 Hadir sama pada upacara pelepasan peserta ialah Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggie, Ketua Unit UPPK PSKPP Jabatan Pendidikan Daerah Lubok Antu Tubau Limbai, Pengetua SMK Engkilili Ganis Abi, Kaunselor Bangkong Mawing dan Kaunselor Chaong Baringai.

Advertisement