Anda di sini

Padawan Raft Safari 2018 dijangka menyaksikan pertambahan acara

Advertisement
 Peserta perlumbaan rakit menamatkan cabaran kayuhan sepanjang Sungai Semadang.
CABARAN RAKIT: Peserta perlumbaan rakit menamatkan cabaran kayuhan sepanjang Sungai Semadang.

KUCHING: Penganjuran Padawan Raft Safari akan diteruskan tahun depan dijangka menyaksikan pertambahan dari segi segmen acara.

 Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datu Ik Pahon Joyik berkata beliau mahu melihat penganjuran sukan rakyat dan tradisional serta persembahan kebudayaan acara baharu selain perlumbaan rakit dan kayak.

 “Saya minta Majlis Perbandaran Padawan (MPP) membuat kertas kerja dan bentangkan kepada menteri terbabit (Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah).

 Saya yakin beliau akan menyokongnya dan memberi peruntukan kerana ini adalah untuk mempromosikan kawasan Bidayuh Penrissen yang terkenal dengan ekopelancongan,” katanya mewakili Abdul Karim menyempurnakan perasmian penutupan Padawan Raft Safari 2017 di Kampung Git, Jalan Puncak Borneo di sini semalam.

 Turut hadir Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos dan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sarawak, Suriya Charles Buas.

 Menurut Ik Pahon, antara sukan rakyat dan tradisional boleh diadakan ialah pertandingan menyumpit dan gong serta persembahan menampilkan kebudayaan serta kesenian kaum Bidayuh.

 “Dengan adanya acara seperti ini, saya pasti penganjuran Padawan Raft Safari lebih meriah dan menarik sekali gus meraih kedatangan lebih ramai pelancong ke kawasan Penrissen,” katanya.

 Padawan Raft Safari anjuran MPP merupakan salah satu aktiviti sempena Pesta Padawan tahun ini menyaksikan pertandingan berkayuh menggunakan rakit yang diperbuat daripada buluh dan pertandingan berkayak sepanjang Sungai Semadang.

 Objektif acara ini adalah mempromosikan kawasan pelancongan berasaskan komuniti di dalam kawasan bidang kuasa MPP.

 Ia juga memberi peluang kepada pencinta alam sekitar mendekatkan diri dengan keindahan alam semula jadi serta menggalakkan gaya hidup sihat.

Advertisement