Anda di sini

Sibu BASE Jump tetap gamit pengunjung

Advertisement
 Pengunjung mula memenuhi Dataran Sibu Fasa I sekitar jam 5 petang semalam bagi menyaksikan Sibu BASE Jump 2017.
MERIAH: Pengunjung mula memenuhi Dataran Sibu Fasa I sekitar jam 5 petang semalam bagi menyaksikan Sibu BASE Jump 2017.

SIBU: Walaupun memasuki edisi kesembilan, Sibu BASE Jump masih mendapat tempat di hati pengunjung yang ingin menyaksikan terjunan berbahaya penerjun dari serata dunia di Wisma Sanyan di sini semalam.

Seramai 84 penerjun dari 17 negera mengambil bahagian pada Sibu BASE Jump 2017 yang berlangsung dari 22 (semalam) hingga 24 September ini di Dataran Bandar Sibu Fasa I.

 Salah seorang penerjun BASE Jump melakukan pendaratan selepas terjun dari bumbung Wisma Sanyan.
PAKAR: Salah seorang penerjun BASE Jump melakukan pendaratan selepas terjun dari bumbung Wisma Sanyan.

Ketika tinjuan Utusan Borneo di Dataran Sibu pagi semalam, orang ramai mula berkumpul di segenap penjuru Dataran Sibu Fasa I bagi menyaksikan penerjun membuat terjunan dari ketinggian 413 kaki.

Menurut Nurul’Ain Mohamad Mostapha, 26, beliau  menyaksikan Sibu BASE Jump sejak 2011 dan sehingga kini masih berasa teruja setiap kali penerjun BASE terjun dari bangunan tertinggi Sarawak itu.

“Perasaan semasa kali pertama melihat acara ini pada tujuh tahun lalu masih sama di mana debaran itu masih terasa setiap kali penerjun BASE membuat terjunan mereka dari atas bumbung Wisma Sanyan.

“Kelegaan hanya akan terasa sebaik sahaja penerjun BASE selamat mendarat dalam terjunan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Dataran Bandar Sibu Fasa I di sini, semalam.

Ditanya mengenai perkembangan Sibu BASE Jump, beliau berkata, jumlah penerjun semakin bertambah setiap tahun dan ini menjadikan acara itu semakin dikenali di seluruh Sarawak dan dunia.

“Masyarakat Sibu harus berasa bangga kerana sebuah acara bertaraf antarabangsa berjaya diadakan di bandar Sibu,” katanya sambil berharap penganjuran Sibu BASE Jump pada masa akan datang mendapat lebih banyak penyertaan.

 Antara aksi penerjun Sibu BASE Jump 2017, semalam.
BERANI: Antara aksi penerjun Sibu BASE Jump 2017, semalam.

Salah seorang pengunjung dari Sarikei hanya mahu dikenali sebagai Anthony berkata, penganjuran Sibu BASE Jump mempromosi negeri Sarawak secara keseluruhannya di mata dunia.

Beliau berharap pihak penganjur juga dapat menganjurkan banyak aktiviti lain disekitar Dataran Bandar Sibu semasa acara Sibu BASE Jump berjalan.

“Lebih banyak aktiviti, maka jumlah pengunjung akan bertambah dan ia akan menjadi salah satu acara terbesar di Sibu, mahupun di Sarawak,” katanya.

 Salah seorang penerjun BASE Jump melintasi bendera Sarawak pada aksi Sibu BASE Jump 2017, semalam.
DI AWANGAN: Salah seorang penerjun BASE Jump melintasi bendera Sarawak pada aksi Sibu BASE Jump 2017, semalam.

Sementara itu, semasa tinjuan Utusan Borneo semalam mendapati aktiviti terjunan para penerjun BASE berjalan dangan lancar.

Dijangka jumlah pengunjung di Dataran Bandar Sibu Fasa I lebih ramai pada sebelah petang berikutan cuti sempena Awal Muhamram dan keadaan cuaca yang cerah.

  • oleh
  • Advertisement