Anda di sini

Koperasi di kawasan Telang Usan harus sedia pelbagai perniagaan

Advertisement

MIRI: Koperasi di kawasan Telang Usan harus bersedia ceburi pelbagai perniagaan lebih komprehensif dan berimpak tinggi bagi menjana keuntungan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, mereka tidak harus terikat satu jenis perniagaan namun perlu berani mempelbagai bidang agar mampu bersaing dan berkembang.

“Koperasi perlu berani mencuba bidang baharu agar mereka dapat mempelbagaikan sumber pendapatan,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai Koperasi Rakyat Apoh Berhad (KRAB) oleh kepada ketua kampung dan wakil dari lima buah rumah panjang di sini baru-baru ini.

Dennis menjelaskan,pada masa sama, koperasi perlu merebut peluang dengan bantuan dan kemudahan disediakan kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKM).

KRAB ditubuhkan pada 1983 dianggotai kira-kira 3,000 ahli melibatkan lima buah kampung di Sungai Apoh iaitu Long Bedian, Long Atip, Long Wat, Long Buang dan Long Bemang.

Dennis juga Setiausaha Lembaga pengarah dan kini dilantik penasihat KRAB menambah, koperasi ini wajar menggunakan sepennuhnya aset yang mereka ada untuk menjana lebih banyak keuntungan.

“KRAB wajar mencari maklumat bagaimana mereka dapat melibatkan diri dalam strategi pembangunan tanah tinggi atau Highland Development Agency (HDA).”

“Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini mengumumkan projek HDA, salah satu strategi membangunkan luar bandar Baram secara menyeluruh melalui aktiviti pertanian berskala besar,” katanya.

Menurut Dennis, ia merupakan peluang keemasan kepada KRAB melebarkan perniagaan dalam pertanian.

Beliau turut menasihat KRAB agar terus mendapatkan khidmat nasihat daripada SKM di Miri selain menimba pengetahuan daripada pengusaha koperasi yang berjaya.

“Kejayaan sesebuah koperasi itu bergantung sepennuhnya dengan ketelusan dalam mendapatkan keyakinan dan kepercayaan ahli. Namun jika ketua meletak kepentingan sendiri, ia hanya merugikan koperasi itu sendiri,” kata Dennis.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah KRAB, Lesli Lah, ahli lembaga dan ketua kampung mewakili lima buah rumah panjang.

Advertisement