Anda di sini

HSN 2017 pada 14 Okt dijangka tarik ramai peserta

Advertisement

KUCHING: Hari Sukan Ne­gara (HSN) 2017 yang akan disambut pada 14 Oktober de­pan dijangka menarik penyer­taan ramai peserta termasuk dari Sarawak selepas kejayaan penganjuran temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri Muda Belia dan Su­kan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata, minat terha­dap sukan dalam kalangan masyarakat semakin mening­kat susulan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2017.

“Kita telah mengadakan mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin baru-baru ini dan berkongsi pandangan bahawa Sukan SEA Kuala Lumpur secara tidak langsung telah meningkatkan minat masyar­akat terhadap sukan dan per­mainan,” katanya.

“Respons positif ini akan memberi impak besar kepada sokongan masyarakat terha­dap Hari Sukan Negara yang berperanan mempromosi gaya hidup sihat dan penyer­taan masyarakat dalam sukan dan permainan.”

Menurut Snowdan, asas ke­pada penyertaan masyarakat dalam sukan dan permainan adalah dengan menggalakkan mereka melibatkan diri bersa­ma yang lain menerusi aktiviti fizikal dan temasya yang akan memberi manfaat dari sudut kesihatan dan fisiologi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan amat menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan per­mainan sebagai wadah untuk mereka meluangkan masa bersama yang lain dan menjadi lebih sihat.

“Penglibatan golongan belia dalam sukan dan permainan juga sangat penting dalam menggalakkan mereka me­manfaat masa lapang untuk menjalankan aktiviti sihat bersama keluarga dan rakan dengan harapan dapat mem­bentuk minda dan tubuh yang sihat.

“Justeru, kita menyeru badan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang terlibat dalam sukan untuk memainkan peranan dalam mempromosi HSN agar dapat memberi impak positif kepada masyarakat tempa­tan,” tegasnya.

Menurutnya, venue dan tarikh pelancaran HSN peringkat Negeri Sarawak akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Ke­budayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam perkembangan lain, Snowdan mengetuai delegasi Sarawak ke Rugao City, China dan pada 26 September ini beliau akan membida men­ganjurkan Kejohanan Olah­raga Masters Asia Ke-21 2019 (AMAC 2019).

Snowdan juga dijadual ber­cakap kepada semua wakil dari Persekutuan Olahraga Masters Asia (AMA) dari 20 negara yang akan mengundi tuan rumah kejohanan ber­prestij itu pada 2019.

Snowdan turut diiringi Ket­ua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee, Penaung Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA), Datuk Seri Dr V Pulainthiran dan Setiausaha Agung AMA, S. Sivapragasam.

Menurut Snowdan, Sarawak akan mewakili negara mem­bida AMAC 2019 dan dijangka menerima tentangan sengit dari pembida lain antaranya India dan Indonesia.

“Kita optimis dengan ca­dangan bidaan kami dan Sarawak bersedia menawar­kan fasiliti terbaik untuk para peserta yang akan datang serta merasai keramahan dan lay­anan mesra masyarakat tem­patan yang terkenal di seluruh dunia,” katanya.  

Advertisement