Anda di sini

Aktiviti jualan produk bakeri, pastri KV bentuk semangat keusahawanan

Advertisement
 Kumpulan Carpe Diem menunjukkan hasil produk mereka iaitu Green Tea Swiss Roll With Cheese Filling yang memenangi produk terbaik.
TERBAIK: Kumpulan Carpe Diem menunjukkan hasil produk mereka iaitu Green Tea Swiss Roll With Cheese Filling yang memenangi produk terbaik.

SIBU: Jabatan Hospitaliti dan Unit Bakeri dan Pastri Kolej Vokasional (KV) Sibu menganjurkan aktiviti jualan produk bakeri dan pastri baru-baru ini.

Aktiviti tersebut merupakan salah satu projek pelajar dalam memenuhi modul ditetap Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pendidikan Malaysia.

Aktiviti ydisertai enam kumpulan pelajar itu telah menghasilkan jenama dan produk sendiri.

Antaranya ialah kumpulan Delicious Bakery dengan produknya ialah Hawaii Mini Pizza, kumpulan Sarawak Bakery dengan produknya Wantan Ayam, kumpulan Naz Bakery dengan produknya Cupcake Pandan Gula, kumpulan Masam Manis Bakery dengan produknya Nutella Bun, kumpulan Carpe Diem dengan produknya Green Tea Swiss Roll With Cheese Filling dan kumpulan My Neighbour Bakery dengan Crepe Coklat.

Jualan tersebut berlangsung sebelah pagi bermula jam 8 pagi hingga 1 petang serta dirasmikan oleh Pengarah KV Sibu Musthafa Sepawi.

Dalam ucapannya, Musthafa berkata, aktiviti ini adalah untuk membentuk semangat keusahawanan dalam diri pelajar untuk bersaing di pasaran luar.

Beliau turut menyatakan bahawa hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan melalui Transformasi Pendidikan Vokasional.

Sehubungan itu, pensyarah penyelaras aktiviti tersebut Muhammad Saufie Abdul Rashid berkata, produk dan jenama yang dihasil merupakan idea dan kreativiti pelajar Tahun 1 Diploma Bakeri dan Pastri.

Menurutnya, kejayaan pelajar dalam menghasilkan produk dan jenama sendiri mampu membuka mata masyarakat luar bahawa belajar di KV dapat melahirkan usahawan yang boleh berdikari di dunia realiti.

Justeru, jelasnya, warga Unit Bakeri dan Pastri mengharapkan lebih ramai pelajar lepasan tingkatan tiga menyambung pengajian ke KV Sibu.

Sementara itu, Carpe Diem telah memenangi produk terbaik dan Naz Bakery memenangi kategori pembungkusan terbaik. Manakala Delicious Bakery muncul juara dalam penilaian gerai terbaik.

Semua pemenang telah menerima plak dan sijil penghargaan.  

Advertisement