Anda di sini

Sokongan korporat perlu lonjakkan bola sepak Miri

Advertisement

KUCHING: Sokongan dari syarikat swasta mahupun korporat amat diperlukan untuk melonjakkan mutu bola sepak di bahagian Miri.

 Penaung Persatuan Bolasepak Bahagian Miri (MiFA), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata tajaan daripada syarikat swasta seperti LEA Sports Centre (LSC) dapat membantu merancakkan program pembangunan bola sepak di bahagian itu.

 Beliau yang juga ADUN Piasau berkata minat terhadap bola sepak di Miri memperlihatkan peningkatan positif melalui penganjuran pelbagai aktiviti melibatkan bola sepak khususnya Kejohanan Bolasepak Liga Miri- LSC 2017 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

 “Persatuan Bolasepak Bahagian Miri (MiFA) merakamkan setinggi terima kasih kepada Pengarah Urusan LEA Holdings (M) Sdn Bhd, Raymond Sim atas kesudian menaja penganjuran Liga Miri-LSC 2017.

 “Saya amat gembira kerana ini kali pertama liga kita mendapat tajaan dari syarikat ini.

 “Saya percaya penganjuran liga ini dapat menaikkan lagi standard pemain bola sepak di Miri selain mewujudkan minat mendalam golongan belia terhadap sukan itu,” katanya pada majlis penyerahan tajaan di sini semalam.

Raymond (tiga kiri) menyerahkan piala pusingan tajaan LSC kepada Sebastian sambil disaksikan (dari kiri) Hoon Siok, Siok Hoon dan Mohamad Saif (dua kanan).
Raymond (tiga kiri) menyerahkan piala pusingan tajaan LSC kepada Sebastian sambil disaksikan (dari kiri) Hoon Siok, Siok Hoon dan Mohamad Saif (dua kanan).

 Menjelas lanjut, Sebastian melahirkan rasa bangga dengan pemilihan dua pemain remaja dari Miri, Amar Muaz Zamri dan Filemon Anyie Standly dalam skuad Piala Presiden Sarawak.

 Sekali gus ia menjadi testimoni komitmen MiFA diterajui Presidennya, Mohamad Saif Jubaidi dalam memperkasakan program akar umbi untuk melahirkan lebih ramai pemain remaja berwibawa.

 “Di bawah Mohamad Saif, banyak program pembangunan bola sepak telah dilaksanakan yang turut mencakupi pelajar sekolah.

 “Program sukan seperti ini sedikit sebanyak akan membantu membina jati diri serta menanam nilai murni dalam diri pemain remaja kelak,” katanya lagi.

 Sementara itu, Raymond merakamkan rasa gembira kerana dapat menjalin kerjasama dengan MiFA dalam membantu melahirkan lebih ramai pemain bola sepak tempatan yang berkaliber.

 Beliau turut memuji komitmen MiFA dengan mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan liga berprestij itu dianjur dengan jayanya.

 Saingan Liga Miri-LSC 2017 yang bermula dari 23 September ini bakal disertai lapan pasukan iaitu LBR Miri, Wisma RSC, PGA, IPD, Martitim, Permy Galaxy, OU FC dan Perdanaku.

 Kesemua perlawanan akan menggunakan Padang Kelab Rekreasi Petroleum, Miri.

  • oleh
  • Advertisement