Anda di sini

Dasar pendidikan perlu dikaji semula kurangkan pengangguran

Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengesyorkan agar dasar pendidikan di negara ini dikaji semula supaya sejajar dengan keadaan semasa dan untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah.

Katanya, antara perkara yang perlu dilakukan ialah mengkaji keberkesanan sistem kurikulum dan mencari jalan untuk mengelak berlaku ketidaksepadanan antara jumlah siswazah dan peluang pekerjaan yang wujud.

Adnan, yang juga ketua perhubungan UMNO negeri, berkata kajian semula itu perlu dilakukan berikutan pe-ningkatan jumlah penduduk negara ini, yang membawa berlakunya peningkatan kos sara hidup, masalah pengangguran serta pemilikan rumah.

Punca utama semua masalah ini ialah pertambahan jumlah penduduk. Dahulu, pekerjaan yang mencari siswazah, tetapi kini siswazah perlu memburu pekerjaan.

Apabila saya kata perlu dikaji, ia bermakna mungkin kita perlu membuat kajian tentang kurikulum. Kita perlu kaji kesesuaian kursus yang kita sediakan atau tawarkan kepada mahasiswa dan siswazah serta pekerjaan yang wujud di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pendidikan Tinggi Pertubuhan Kerja-sama Islam (OIC) 2017 di sini semalam.

Beliau berkata persidangan bertemakan ‘Meningkatkan Standard Pendidikan di Dunia Islam’ itu menjadi platform bagi semua negara anggota OIC untuk berkongsi idea dan membincangkan isu berkaitan pendidikan tinggi.

Ia diadakan bersempena Pameran dan Persidangan Muslim World Biz 2017 dari 18 hingga 21 Sept. — Bernama

Advertisement