Anda di sini

TYT terima kunjungan ahli Lembaga Biasiswa Tun Taib Yayasan Sarawak

Advertisement
 Tun Taib merakam kenangan bersama Abu Bakar (kiri), Azmi (dua kanan) dan Zamhari (kanan).
KUNJUNGAN: Tun Taib merakam kenangan bersama Abu Bakar (kiri), Azmi (dua kanan) dan Zamhari (kanan).

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan hormat daripada ahli Lembaga Biasiswa Tun Taib Yayasan Sarawak di Astana Negeri, semalam.

Rombongan itu diketuai Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki selaku wakil Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Tujuan kunjungan hormat adalah untuk menjemput Tun Taib menyempurnakan Majlis Penyampaian Biasiswa Tun Taib Yayasan Sarawak yang berlangsung di Dewan Besar Astana Negeri, hari ini.

Seramai 37 penerima yang terdiri daripada 33 pelajar sarjana dan empat pelajar ijazah lanjutan bakal menerima biasiswa tersebut.

Turut hadir Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Biasiswa Zamahari Zaidi.

Tun Taib turut menerima kunjungan hormat daripada rombongan Jabatan Audit Negara Negeri Sarawak yang diketuai pengarah baru jabatan tersebut Toieyah Tioh bagi memperkenalkan diri kepada Tun Taib selepas mengambil alih jawatan itu daripada bekas Pengarah Kartina Zamhari yang berpindah sebagai Pengarah Unit Audit Dalaman Kementerian Dalam Negeri Julai lepas.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Sarawak Gwendoline Chung Mee Ling dan Ketua Penolong Pengarah Audit Ahmad Seli.

Beliau juga menerima kunjungan hormat daripada ahli Jawatankuasa Induk Pesta Bederun Balingian 2017 pada hari yang sama.

Rombongan diketuai Tan Sri Muhammad Leo Michael Toyad selaku penaung Pesta Bederun, bertujuan menjemput Tun Taib serta Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib menghadiri pesta tersebut yang dijadualkan pada 29 September hingga 1 Oktober depan.

Acara kemuncak pesta adalah pada 30 September dengan kehadiran Tun Taib serta Toh Puan ke Pesta Bederun di Tapak Lama Bangunan Kerajaan, Balingian.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, Yang Dipertua Persatuan Generasi Melanau Balingian Kaunselor Harbi Bakir, Pegawai Daerah Balingian Safrie Saili dan Pegawai Pentadbir Daerah Kecil Balingian Mohammad Haikal Sibot.

Advertisement