Anda di sini

Projek kondominium: Unit Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM291 juta

Advertisement

Jumlah nilai perolehan kontrak kumpulan kini sebanyak RM3.15 bilion

KUALA LUMPUR: Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, unit Kerjaya Prospek Group Bhd menerima surat lantikan daripada Bon Estates Sdn Bhd sebagai kontraktor utama bagi projek kondominium mewah ‘The Estate’ seluas 1.49 hektar bernilai RM291 juta.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Tee Eng Ho, berkata projek itu menandakan pemberian kontrak kelapan bagi kumpulan tersebut tahun ini menjadikan kontrak yang diperoleh setakat tahun ini sebanyak RM1.16 bilion, mengatasi sasaran awal RM800 juta bagi 2017.

Dengan kontrak terbaharu ini, telah menjadikan jumlah nilai perolehan kontrak kumpulan sebanyak RM3.15 bilion,” katanya kepada pemberita selepas majlis permeteraian janji niaga bagi The Estate itu, di sini, semalam. 

Beliau berkata syarikat itu, yang menggunakan teknologi sistem bangunan berindustri sejak 2010, akan menggunakannya bagi semua projek bangunan tingginya, termasuk The Estate.

Sistem itu telah terbukti dapat mengurangkan kesilapan, mengurangkan kos buruh serta pembelian tunai bahan binaan, katanya.

Tee berkata meskipun tahun ini merupakan tahun yang sukar bagi syarikat pembinaan disebabkan oleh kelembapan pasaran hartanah, tetapi dengan lokasi dan produk yang sesuai pasaran masih dilihat menggalakkan. 

Beliau berkata prospek tahun depan dijangka lebih baik bagi sektor pembinaan dan hartanah selepas mengharungi tahun-tahun yang mencabar.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bon Estates, Goh Soo Sing, berkata projek The Estate yang terletak di Bangsar South, akan terdiri daripada dua menara setinggi 46 tingkat dengan sejumlah 328 unit kondominimum mewah dan nilai pembangunan kasar RM650 juta.

Menurutnya, bagi projek itu, syarikat tersebut telah memilih Kerjaya Prospek kerana ia berupaya memenuhi kos yang dianggarkan, tempoh penyiapan dan kualiti yang diharapkan.

Dengan The Estate, Bon Estate bercita-cita untuk membina rumah bertahan sehingga 100 tahun yang menawarkan daya tarikan tak lapuk dek zaman dan mampu bertahan lama yang akan menjadikan pemilik berbangga untuk mewarisinya kepada generasi akan datang, kata Goh.

Beliau berkata penggunaan standard Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan oleh Kerjaya Prospek adalah sejajar dengan aspirasi syarikat bagi projek baharu itu.

Saya percaya pemilihan Kerjaya Prospek yang memiliki reputasi tinggi dalam menyiapkan hartanah berkualiti menyediakan asas penting bagi mencapai sasaran ini dan memberikan keyakinan kepada kami untuk terus melangkah kehadapan,” katanya.

Harga unit bermula daripada RM1.8 juta hingga RM5.8 juta. — Bernama

Advertisement