Anda di sini

Hab Inovasi Digital TEGAS kedua di Sarikei: KM

Advertisement

Asah bakat anak muda luar bandar dalam IT, sokong keusahawanan dan lahir inovator di seluruh negeri

 Abang Johari meletakkan ibu jari pada tablet untuk melancarkan PDK. Turut kelihatan (dari kiri) Gerawat, Yasmin, Fatimah, Wong, Harden dan Saadiah.
SIMBOLIK: Abang Johari meletakkan ibu jari pada tablet untuk melancarkan PDK. Turut kelihatan (dari kiri) Gerawat, Yasmin, Fatimah, Wong, Harden dan Saadiah.

KUCHING: Sarikei dipilih sebagai lokasi kedua untuk penubuhan Hab Inovasi Digital TEGAS (TDIH) selepas yang pertama dilancarkan di iCOM Square di sini Ogos lalu.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata hab inovasi itu penting dalam usaha kerajaan negeri mengasah bakat golongan muda di luar bandar dalam bidang teknologi maklumat (IT) serta menyokong sektor keusahawanan dan melahirkan inovator di seluruh negeri.

Beliau berkata TDIH Sarikei akan dilancarkan pada 17 September ini (Ahad) dan akan dihubungkan dengan Kampung Digital yang dibangunkan di kawasan perindustrian Samajaya di sini.

Tambahnya Kampung Digital itu yang berperanan sebagai inkubator dianggarkan bernilai RM30 juta, akan siap sepenuhnya pada suku pertama 2020.

17 September ini saya akan lancar satu lagi hab inovasi digital iaitu di Sarikei yang akan dihubungkan dengan Kampung Digital.

Sama seperti TDIH di sini (Kuching), hab inovasi di Sarikei dilengkapi dengan café, bilik perbincangan, bilik persidangan, tempat santai dan kemudahan Internet serta komputer untuk digunakan orang ramai khususnya usahawan muda berinteraksi pada masa sama mengasah bakat mereka dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Digital Kenyalang (PDK) di Penview Convention Centre (PCC) di sini semalam.

Abang Johari menambah, penubuhan TDIH di Sarikei juga antara usaha kerajaan negeri mengasah bakat rakyat Sarawak di luar bandar yang dilihat berpotensi dibangunkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM1 bilion untuk menaik taraf infrastruktur Internet di Sarawak.

Katanya peruntukan itu akan digunakan sama ada untuk membangunkan menara telekomunikasi, ‘cloud computing’, satelit mikro atau kabel gentian optik, mengikut kesesuaian bentuk muka bumi.

Kita mahu kelajuan Internet di Sarawak dipertingkatkan kepada 4 tbps (terabit sesaat) berbanding hanya 1.3 tbps ketika ini.

Peningkatan kelajuan Internet ini penting untuk memastikan pelaksanaan ekonomi digital di negeri ini berjaya,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu bahawa Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November depan.

Sarawak tegasnya, mesti mempunyai undang-undang untuk mengawal selia semua aspek ekonomi digital termasuk pengeluaran lesen dan melindungi pengguna.

Kita mesti ada undang-undang untuk mengawal selia semua aspek ekonomi digital dan melindungi pengguna.

Rang Undang-Undang SMA akan saya bentangkan pada persidangan DUN November depan,” katanya.

Mengenai PDK, Abang Johari berkata ia usaha yang baik untuk membawa usahawan mikro di Sarawak menceburi bidang ekonomi digital.

Syabas dan terima kasih kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kerana menganjurkan program ilmu ini.

Program ini antara usaha mentransformasikan ekonomi negara kita yang berkisar kepada penggunaan digital untuk meningkatkan pendapatan anak-anak kita,” katanya.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdulah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Saadiah Abdul Samad.

  • oleh
  • Advertisement