Anda di sini

JIM tahan lebih 11,000 PATI dalam Op Mega

Advertisement


PORT DICKSON: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai lebih 11,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara menerusi Op Mega JIM yang dilaksanakan pada 1 Julai lepas hingga semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata dalam operasi itu, Indonesia merekodkan tangkapan tertinggi iaitu 3,264 orang.

“Tangkapan itu melibatkan pemeriksaan yang telah dijalankan ke atas 41,897 orang dan 3,167 premis telah diperiksa. Kita turut tahan 266 majikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat  Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 Siri 3 Tahun 2017 di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan JIM berhubung isu kedatangan etnik Rohingya ke negara ini, Mustafar berkata penguatkuasaan yang dijalankan jabatan itu adalah berdasarkan apa yang telah ditetapkan sebagai dasar oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Tentunya kalau ada kegawatan yang berlaku di sesebuah negara asal mereka, kita dapati banyak rakyatnya cuba merentas sempadan antarabangsa dan ada juga yang cuba datang ke negara ini.

“Tetapi, apa juga ketetapan dasar, sebagai agensi pelaksana kita akan melaksanakan tugas-tugas mengikut apa yang telah ditetapkan,” katanya. - BERNAMA

Fail foto BERNAMA
Advertisement