Anda di sini

Dua kanak-kanak Malaysia finalis Peraduan Seni Kereta Impian Toyota di Jepun

Advertisement
 Lim (dua kiri) pemenang anugerah perak dari Malaysia.
BAKAT MUDA: Lim (dua kiri) pemenang anugerah perak dari Malaysia.

KUCHING: Dua kanak-kanak muda Malaysia dengan idea-idea inovatif dipilih dari 830,000 penyertaan daripada 79 negara di seluruh dunia dalam Peraduan Seni Kereta Impian Toyota Global yang diadakan di Jepun.

Lim Xiao Yun, mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi anugerah kategori perak dalam majlis diadakan di Mega Web, kemudahan pengalaman kenderaan Toyota di Kato Ward, Tokyo pada 23 Ogos lalu.

Peraduan Seni Kereta Impian Toyota mula diperkenal pada 2004 bagi memberi peluang kepada kanak-kanak di seluruh dunia untuk merasai kepentingan mempunyai impian dan kesempatan untuk meneroka minat dalam kereta.

Hasil seni dikemuka tahun ini amat dipandang tinggi oleh panel hakim dan pilihan pemenang dibuat di bawah bimbingan Pengerusi Toyota Motor Corporation, Presiden Akio Toyoda.

Pertandingan itu dibuka kepada tiga kategori peserta-peserta muda.

Selepas proses pemilihan, 30 artis muda dengan idea kereta impian inovatif dan futuristik, masing-masing 10 dari tiga kategori, dipilih untuk persaingan global.

Acara itu turut digelar sebagai pertandingan seni terbesar di dunia.

Peraduan itu bertujuan menggalakkan penglibatan kanak-kanak dari setiap sudut dunia untuk berkongsi idea mengenai mobiliti masa depan dengan menyatakan pemikiran kreatif mereka melalui bentuk seni, dengan melukis kereta impian masing-masing.

Meskipun berdepan saingan hebat, dua pemenang dari Malaysia muncul sebagai peserta pusingan akhir untuk pertandingan global, dengan seorang daripadanya ialah Choo Han Yean, 7, dan seorang lagi, pemenang anugerah perak, Lim Xiao Yun, 11. Kedua-dua finalis layak ke acara global yang diingini di Jepun.

Lim membangunkan seni kereta impian di bawah tema ‘Kereta Impian Saya Menyelamatkan Dunia’ yang menyasar untuk melindungi bumi dari sinaran ultraviolet yang berbahaya dari matahari.

“Bumi kita juga menghadapi ancaman lain, tetapi kereta impian saya dengan teknologi futuristiknya akan mengalihkan meteorit dan bahan buangan yang jatuh dari langit.”

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K, melahirkan kegembiraan atas pemilihan dua kanak-kanak Malaysia ke pertandingan global dan mengucapkan tahniah atas ketekunan dan ketabahan mereka.

Beliau turut berkata: “Minda muda merupakan bengkel subur untuk idea baharu yang kreatif. Peraduan Seni Kereta Impian Toyota menggalakkan penglibatan minda inovatif.

“Tahun ini menyaksikan banyak peserta yang berminat dan kami sangat bangga bahawa golongan muda Malaysia sangat berbakat dan futuristik dalam pemikiran mereka.”

Peraduan Seni Kereta Impian 2018 akan diperkenalkan tidak lama lagi, dan para peserta berminat boleh menantikan pengumuman menerusi laman web UMW Toyota Motor atau akaun Facebook pada awal November nanti.

Advertisement