Anda di sini

Mampu lahir atlet berkelas dunia

Advertisement

Tiga atlet Sarawak raih emas, perak, gangsa dalam Kejohanan Bina Badan Antarabangsa di Korea Selatan

 Snowdan, Dr Ong dan Wee ketika bersama Buda, Melvern dan Awang Azizul bergambar kenangan sebaik tiba di LTAK, di Kuching semalam.
BERKELAS DUNIA: Snowdan, Dr Ong dan Wee ketika bersama Buda, Melvern dan Awang Azizul bergambar kenangan sebaik tiba di LTAK, di Kuching semalam.

KUCHING: Kepulangan tiga jaguh bina badan Sarawak meraih pingat emas, perak dan gangsa dalam Kejohanan Bina Badan Antrabangsa di Korea Selatan, baru-baru ini disambut meriah semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.

 Turut menyambut ketibaan wira negara ialah Menteri Muda Belia dan Sukan Snowdan Lawan.

 Beliau berkata trio itu bukan sahaja menjadikan Sarawak dan negara bangga dengan memenangi pingat dalam pertandingan, tetapi juga membuktikan bahawa Sarawak mampu melahirkan atlet berkelas dunia.

 “Atlet-atlet ini adalah kebanggaan Sarawak kerana mereka adalah berkelas dunia.

 “Saya berharap lebih ramai generasi muda yang bercitacita untuk menjadi atlet yang hebat akan melihat mereka sebagai contoh terbaik ketika bersaing dalam pertandingan di mana sahaja,” katanya.

 Mengulas lanjut, Snowdan turut berharap dapat melihat lebih ramai rakyat negeri ini menjadi atlet bertaraf dunia pada masa akan datang.

 Pada kejohanan yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan itu Dr Malvern Abdullah memenangi pingat emas dalam kategori Flyweight (60kg) untuk Malaysia.

 Sementara itu, ‘Badang Sarawak’ Buda Anchah juga memenangi dua pingat untuk negara iaitu pingat perak dalam kategori Lightweight (70kg) dan gangsa dalam kategori Masters.

 Selain Malvern dan Buda, Awang Mohd Azizul Ghani turut menghadiahkan satu pingat gangsa kepada negara dalam kategori Welterweight (75kg).

 Tiga wakil dari Sarawak itu merupakan antara tujuh barisan atlet Malaysia yang mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan di Ballo Mart Ballroom City Lotte Hotel Seoul.

 Bercakap kepada pemberita di balai ketibaan, Buda berkata dia kini fokus dalam persiapan untuk pertandingan seterusnya.

 Malvern dan Mohd Azizul mendedahkan bahawa mereka kini sedang bersedia untuk pertandingan bina badan antarabangsa yang akan diadakan di Mongolia pada Oktober akan datang.

 Hadir sama, Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak Datuk Wee Hong Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee dan pegawai- pegawai lain.

Advertisement