Anda di sini

Arief ungguli ‘Mydin Minibike Merdeka Fun Race 2017’

Advertisement
 Antara aksi kategori Open Master pada ‘Mydin Minibike Merdeka Fun Race 2017’.
MENARIK: Antara aksi kategori Open Master pada ‘Mydin Minibike Merdeka Fun Race 2017’.

KUCHING: Pelumba MEAC Mohammad Arief Mohamad Din melakar kejayaan berganda apabila mendominasi kategori Open dan Expert dalam saingan ‘Mydin Minibike Merdeka Fun Race 2017’ yang berlangsung di Mydin Samariang, Ahad lalu.

 Bagaimanapun, hasratnya untuk menggondol kejuaraan ketiga dalam kategori Open Master tidak kesampaian selepas pelumba King N3 Tanjung Dato Racing Team Abdul Shahrul Muazzam menamatkan saingan selaku juara.

 Turut menaiki podium pelumba Gertaq Racing Team Azrie Ali Hassan yang berpuas hati di tempat ketiga di belakang Arief.

 Terdahulu, pelumba muda dari Matang itu cemerlang dalam kategori Open mengatasi pencabar daripada Yudi Racing Team Qayyum Mazlan sambil diekori rapat Awang Hafizul Awang Kesuma daripada King N3 Tanjung Dato Racing Team.

 Manakala dalam kategori Expert pula, Arief sekali lagi mengekalkan rentak cemerlangnya di litar menamatkan perlumbaan selaku juara di hadapan Qayyum dan Hafizul yang juga berentap dalam saingan itu.

 Pada aksi pembukaan final kategori Novis, dua pelumba King N3 Tanjung Dato Racing Team Hafizul dan Awang Aienol Adzanie Sabri menoktahkan perlumbaan masingmasing di tempat pertama dan ketiga.

 Sementara Qayyum daripada Gertaq Racing Team selesa selaku naib juara kategori itu sekali gus menaiki podium buat kali kedua.

 Seramai 35 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan sukan permotoran anjuran bersama Matang Extreme Automotive Club (MEAC) dan Gertaq Motor Trading (GMT) dengan kerjasama Mydin Samariang.

 Menurut Timbalan Presiden MEAC Mohamad Din Ismail, penganjuran program itu bertujuan mencungkil bakat dan pelumba-pelumba baharu di samping memberi pendedahan awal kepada mereka yang berhasrat untuk berkecimpung dalam sukan permotoran.

 Tambahnya, ‘Mydin Minibike Merdeka Fun Race 2017’ itu turut mendapat sokongan Sarawak Automotive Racing Sport Association (SARSA).

Advertisement