Anda di sini

Klinik Kesihatan Durin, Sekuau diiktiraf Klinik Rakan Bayi

Advertisement
__alt__

KLINIK Kesihatan Durin dan Klinik Kesihatan Sekuau di Bahagian Sibu telah diiktiraf sebagai Klinik Rakan Bayi, dalam meningkatkan amalan penyusuan susu ibu.

 Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Muhamad Rais Abdullah memberitahu, ini merupakan satu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia sejak 2015 untuk mempromosi, melindung dan menyokong penyusuan susu ibu di kemudahan kesihatan yang memberikan perkhidmatan kepada ibu dan anak.

 “Ini juga merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan inisiatif Hospital Rakan Bayi,” ujarnya dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Bahagian Sibu di Klinik Kesihatan Lanang, baru-baru ini.

 Menurut Dr Muhamad Rais, Klinik Rakan Bayi perlu melaksanakan sembilan langkah ke arah penyusuan susu ibu yang berjaya.

 Sembilan langkah tersebut merangkumi pelbagai aspek yang membantu dan memastikan amalan penyusuan susu ibu dapat diteruskan.

 “Ini termasuk melatih anggota kesihatan yang terlibat dalam perkhidmatan ibu dan anak dalam kemahiran pengurusan penyusuan susu ibu.

 “Ini bagi memastikan setiap warga kesihatan dilengkapi dengan pengetahuan yang betul untuk membantu pelaksanaan amalan ini,” ujarnya sambil menambah lebih 80 peratus warga kesihatan di Bahagian Sibu telah dilatih dan mampu melaksanakan amalan ini.

 Di samping itu katanya, Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu juga telah ditubuhkan untuk menyokong amalan ini, yang terdiri daripada ahli komuniti itu sendiri dan juga anggota kesihatan.

 “Di Bahagian Sibu, kita telah berjaya menubuhkan enam kumpulan sokongan penyusuan susu ibu sama ada di peringkat hospital, klinik dan juga komuniti.

 “Ini termasuk Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Sibu dan kumpulan ini merupakan antara yang paling aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti untuk membantu ibu-ibu di Bahagian Sibu,” jelas Dr Muhamad Rais.

 Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Bahagian Sibu yang disambut setiap tahun pada minggu pertama bulan Ogos.

 Antara aktiviti ini ialah pameran penyusuan susu ibu, ceramah kesihatan, demo masakan, kelas senaman antenatal, pertandingan mewarna kanak-kanak dan sebagainya.

 Hadir sama pada majlis ialah Pengerusi Kumpulan Sokongan Susu Ibu Sibu Saemah Hamidon, pengerusi program Dr Siti Awa Abdul Ghalib serta yang lain.

  • oleh
  • Advertisement