Anda di sini

Balu menang jackpot AS$758.7 juta

Advertisement

NEW YORK: Seorang ibu dua anak berusia 53 tahun di Massachusetts yang memenangi cepumas tunggal terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) – AS$758.7 juta (RM3.41 bilion) – kelmarin berkata ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan segera meninggalkan pekerjaannya selama 32 tahun di hospital.

Mavis Wanczyk berkata dia bermain loteri sekadar sebagai “angan-angan”, tidak pernah percaya bahawa suatu hari nanti dia dapat bersara awal dari Pusat Perubatan Mercy, di mana dia bekerja dalam penjagaan pesakit.

Kelmarin impian itu menjadi kenyataan.

“Saya sudah menghubungi mereka dan memberitahu mereka bahawa saya tidak akan kembali,” katanya yang disambut gelak ketawa pada sidang akhbar yang dihoskan oleh Massachusetts State Lottery.

“Saya akan bersembunyi di atas katil saya!” tambahnya ketika ditanya bagaimana dia merancang untuk meraikannya, sambil memakai kacamata berbingkai hitam, baju panas hitam yang berzip dan menutup kepala di atas baju renda kelabu, rantai leher dan rambut coklat kemerah-merahan yang mencecah bahu.

Wanczyk memilih nombor yang menang – termasuk hari jadi keluarga – dan membeli tiket itu dari sebuah kedai runcit di Chicopee, sebuah bandar kecil 160 kilometer ke barat Boston, dan menganggapnya sebagai “peluang yang saya perlu ambil”.

“Saya hanya di sana untuk membelinya dan mencuba nasib,” jelasnya sambil me-ngunyah gula-gula getah dan tersenyum.

Wanczyk diiringi ke sidang akhbar itu oleh ibu dan dua saudara perempuannya.

Beliau memenangi jackpot itu sembilan bulan selepas kematian suaminya, William Wanczyk, seorang bekas anggota bomba, yang meninggal dunia pada 6 November lalu selepas dilanggar oleh pemandu yang lari ketika menunggu di sebuah perhentian bas di bandar Amherst, Massachusetts, lapor media AS. — AFP

Advertisement