Anda di sini

Malaysia akur raih perak acara badminton berpasukan wanita

Advertisement
 Khe Wei (kanan) dan Vivian Hoo (kiri) ketika berentap dengan lawan dari Thailand, Puttita Supajirakul dan Sapsiree Taerattanachai pada perlawanan akhir Badminton Wanita Berpasukan Sukan SEA KL2017 di Arena Axiata, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
SENGIT: Khe Wei (kanan) dan Vivian Hoo (kiri) ketika berentap dengan lawan dari Thailand, Puttita Supajirakul dan Sapsiree Taerattanachai pada perlawanan akhir Badminton Wanita Berpasukan Sukan SEA KL2017 di Arena Axiata, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara meraih pingat perak acara berpasukan wanita selepas tewas 1-3 kepada Thailand dalam aksi final di Arena Axiata semalam.

 Thailand yang turun selaku juara bertahan menyenaraikan barisan pemain wanita terbaik mereka walau tanpa kehadiran Ratchanok Intanon yang beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow.

 Dalam aksi final yang sengit hari ini, pemain negara Soniia Cheah yang turun sebagai perseorangan pertama gagal menyumbang mata apabila tewas kepada Busanan Ongbamrungphan 12-21, 10-21.

 Beregu negara Vivian Hoo- Woon Khei Wei yang diharap untuk menyamakan kedudukan juga gagal menyumbang mata selepas tewas kepada Puttita Suparijakul-Sapairee Taerattanachai.

 Walau cuba bangkit pada set kedua dengan 21-11 selepas tewas di set pertama 9-21, Vivian-Khe Wei gagal untuk bertahan dalam set penentuan sebelum tunduk 18-21.

 Goh Jin Wei yang diturunkan sebagai perseorangan kedua, kembali menghidupkan peluang skuad negara apabila meraih mata pertama selepas menundukkan Nitchaon Jindapol 22-20, 23-25, 22-20.

 Perjuangan skuad negara berakhir apabila gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean tumpas 12-21, 21-16, 18-21 kepada gandingan Jongophan Kititharakul- Rawinda Prajongjai dalam perlawanan ketiga yang juga berlarutan hingga ke set penentuan.

 Pingat gangsa pula dikongsi bersama skuad Indonesia dan Singapura.  — Bernama

Advertisement