Anda di sini

Kapit tidak sertai LBR 2017/2018

Advertisement

Stadium diselenggara mulai 1 Sept, memakan masa selama sembilan bulan untuk disiapkan

 Kennedy (tiga kiri) menerima surat pengesahan daripada Peter (tiga kanan) sambal disaksikan oleh Nuwin (dua kiri), Jerry (dua kanan) dan Omar (kanan).
TIDAK BERTANDING: Kennedy (tiga kiri) menerima surat pengesahan daripada Peter (tiga kanan) sambal disaksikan oleh Nuwin (dua kiri), Jerry (dua kanan) dan Omar (kanan).

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Kapit mengumumkan tidak akan menyertai saingan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018 disebabkan masalah padang.

 Pengesahan itu dibuat oleh Presiden Kapit FA merangkap Pengurus Pasukan, Kennedy Kuyang setelah menerima surat pengesahan oleh pegawai Pejabat Belia, Sukan dan Solidariti Bahagian Kapit, Peter Jarau di pejabat berkenaan semalam.

 Jelas Kennedy, penarikan Kapit yang merupakan juara Kumpulan C Zon Borneo 2 LBR 2016/2017 berpunca daripada masalah Stadium Terbuka Kapit yang akan diselenggara bermula 1 September ini dan memakan masa selama sembilan bulan untuk disiapkan.

 “Keputusan ini terlalu berat untuk dibuat memandangkan semua pemain telah bersedia untuk merealisasikan impian bermain di peringkat kebangsaan setelah pada tahun lepas kita kempunan atas beberapa faktor walaupun berjaya menundukkan naib juara LBR musim 2016/2017 iaitu Serian FA 2-0 di Stadium Terbuka Kapit,” ujar Kennedy semalam.

 Hadir sama pada perjumpaan tersebut Timbalan Presiden Kapit FA Nuwin Lium, Setiausaha Kapit FA Omar Masam dan Ketua Jurulatih Kapit FA Jerry Raymond Tanny.

 Menurut Kennedy, Kapit FA amat bergantung harap dengan Stadium Terbuka Kapit, satusatunya padang yang ada di daerah itu untuk melaksanakan aktiviti berkaitan bola sepak.

 Katanya, sebagai sebuah persatuan yang aktif menjalankan program pembangunan bola sepak, Kapit FA memerlukan sekurang-kurangnya dua buah lagi padang bagi menampung keperluan penduduk setempat.

 “Kalau nak lahirkan pemain bola sepak, padang bola sepak perlu ada. Sebab pemain bola sepak tidak lahir dari gelanggang badminton atau bola jaring,” tegas Kennedy.

 Menurutnya, walaupun terlepas saingan LBR, Kapit FA masih ada Piala Sarawak sebagai sasaran utama memandangkan piala paling berprestij itu dijadual berlangsung pada 22 hingga 29 Oktober 2017 di Mukah.

 Di samping itu juga, Piala Belia Sarawak akan menyusul pada bulan Disember.

  • oleh
  • Advertisement