Anda di sini

10 pasukan buru Raja Air Batang Kayan sempena Regata Lundu 2017

Advertisement
 Jawatankuasa Pesta Lundu 2017 merakamkan gambar kenangan di Tebingan Waterfront Lundu semalam.
SEMANGAT KERJASAMA: Jawatankuasa Pesta Lundu 2017 merakamkan gambar kenangan di Tebingan Waterfront Lundu semalam.

KUCHING: Sepuluh pasukan memburu gelaran Raja Air Batang Kayan sempena perlumbaan Regata Lundu 2017 yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat ini.

 Daripada pasukan itu, 300 pekayuh akan menyertainya dari sekitar Lundu, Kuching dan Kota Samarahan.

 Pegawai Daerah Lundu Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, Regata Lundu sememangnya ditunggu- tunggu peminat sukan air yang popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

 Katanya, 21 perlumbaan berlangsung sempena Regata Lundu 2017.

 “Antara kategori yang dipertandingkan Kategori Terbuka Bidar A Lelaki (10, 15, 20, 30, 20), Kategori Terbuka Bidar B Lelaki (10, 15, 20, 30), Kategori Bidar Tertutup Lelaki (15, 10, 20, 30), Sprint 15 dan Campuran 10,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

 Majlis perasmian Pesta Lundu 2017 dijangka disempurnakan oleh ADUN Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu.

 Manakala majlis penutupan dilakukan Ahli Parlimen Santubong yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 Penganjuran Regata Batang Kayan telah terhenti sejak 1984 dan setelah 30 tahun, ia diadakan semula sebagai antara acara sempena Pesta Lundu 2015.

 Pada perlumbaan Regata Batang Kayan 2016, Landas 4 merangkul gelaran Raja Sungai Batang Kayan selepas menjuarai Kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki.

 Kemenangan Landas itu sekali gus merampas gelaran yang dipegang Sinaran Ratu Balqis pada 2015, dengan sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

 Manakala, perlumbaan tahun lalu Puteri Dang Balai menamatkan perlumbaan yang di tempat kedua biarpun cuba memberikan tentangan sengit kepada Landas dan Sinaran Ratu Balqis sejak dari awal perlumbaan.

Advertisement