Anda di sini

Malaysia tuai 40 emas dan emas raja pecut

Advertisement
Atlet negara, Khairul Hafiz Jantan (tengah) ketika beraksi dalam acara balapan akhir 100 meter lelaki pada Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil.Turut kelihatan Atlet Filipina, Eric Shaun Cray dan Atlet Thailand, Jirapong Meenapra. Khairul Hafiz Jantan menang dengan catatan masa 10.38. - Foto BERNAMA

 Pelari pecut Khairul Hafiz Jantan jelas gembira dan teruja selepas memenangi pingat emas dalam acara 100 meter lelaki dengan catatan masa 10.38. Beliau dengan mudah mengatasi pelari pecut Filipina Eric Shaun Cray dan Jirapong Meenapra dari Thailand dalam acara itu di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan meraih emas dalam acara 100 Meter lelaki akhir pada temasya Sukan SEA KL2017 di Stadium Bukit Jalil di sini. - Foto BERNAMA
Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan meraih emas dalam acara 100 Meter lelaki akhir pada temasya Sukan SEA KL2017 di Stadium Bukit Jalil di sini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berswafoto dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan pemenang pingat emas acara 100 meter Khairul Hafiz Jantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelari pecut, Khairul Hafiz Jantan mencetuskan keterujaan luar biasa rakyat Malaysia selepas muncul manusia terpantas Asia Tenggara malam ini, satu pencapaian gemilang untuk jangka masa yang panjang ketika kontinjen negara terus mengungguli saingan pungutan pingat pada temasya Sukan SEA ke-29.

Jutaan Malaysia terpaku di hadapan televisyen selain ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika Khairul digelar Speedy Jantan, 19, menghadiahkan pingat emas acara final riben biru Sukan SEA dengan masa 10.38s kepada negara, iaitu jumlah keseluruhan 16 emas yang dituai Malaysia hari ini.

Kontinjen tuan rumah memperkukuhkan kedudukan carta pungutan pingat emas dengan 40 setakat ini dengan pesaing terdekat, Singapura memperoleh tiga dalam acara renang untuk catatan 20 emas diikuti Vietnam (16 emas), Indonesia (12), Filipina (lapan) dan empat oleh Myanmar.

Gimnastik dan karate turut mencuri perhatian dengan masing-masing menyumbang tiga emas dan wushu dua lagi serta daripada acara berbasikal ujian masa lelaki, acara dressage berpasukan (ekuestrian), menembak wanita, petanque wanita, perahu layar optimist campuran dan boling acara beregu campuran.

Turut membawa kejutan ialah dua pingat emas dihadiahkan skuad gimnastik artistik lelaki apabila Jeremiah Loo dan pendatang baharu, Tan Fu Jie menamatkan kemarau pingat selama 12 tahun menerusi acara kekuda berpelana.

Skuad karate membuka kempena dengan Celine Lee Xin Yi dan Lim Chee Wei mengatasi lawan dari Indonesia dalam acara kata wanita dan lelaki disusuli S. Senthil Kumaran dalam kategori bawah 60kg apabila menundukkan wakil Filipina, Jayson Ramli Macaalay 5-3.

Wushu, yang melabuhkan tirai hari ini, peserta veteran Loh Jack Chang muncul sebagai atlet kedua selepas Yeap Wai Kin menggondol emas berganda untuk mempertahankan acara Taijiquan selepas gelaran Taijijian, dua hari lepas.

Penembak negara, Alia Sazana Azahari terkejut dan gembira dengan kehadiran ibunya, Sydah Salleh dan adik-beradiknya dari Terengganu sebelum berjaya dalam mempertahankan pingat emas kategori pistol 25m wanita apabila mengumpul 31 mata di Lapang Sasar Menembak Subang.

"Pertama sekali, saya bersyukur kepada Allah SWT yang merahmati saya pada hari ini dengan cuaca baik dan keduanya kepada ibu, adik-beradik saya dan penyokong dari Terengganu serta rakan sepasukan Joseline Cheah dan Bibiana Ng yang banyak membantu saya semasa latihan.

Di venue sama, Vietnam menerima kejutan apabila bintang Olimpik, Hoang Xuan Vinh tersingkir dalam usaha mempertahankan acara 50m free pistol yang dimenangi penembak Thailand, Natphanlert Auapinyakul dan perak disandang penembak negara, Jonathan Wong,

Dalam acara petanque, Muhammad Hafizuddin Mat Daud berjaya mempertahankan pingat emas acara singles lelaki dengan mengalahkan Kiatkong Tanong dari Thailand 13-7 pada final.

Pemain muda dan juara acara perseorangan boling lelaki, Muhammad Rafiq Ismail meraih emas keduanya apabila berganding dengan Sin Li Jane untuk merangkul emas acara beregu campuran.

Di Langkawi, Malaysia sekali muncul juara dalam acara optimist campuran dengan mengetepikan Thailand 2-1 tetapi gagal mempertahankan acara laser standard dan laser radial, masing-masing dikuasai oleh pelayar Singapura dan Thailand.

Esok, Malaysia dijanjikan emas dalam acara skuasy beregu wanita apabila Andrea Lee Jia Qi dan Rachel Arnold menentang rakan sepasukan Chan Yiwen dan Nazihah Haris dalam final.

Acara beregu lelaki pula akan menjadi pertarungan antara Syafiq Mohd Kamal dan Ng Eain Yow dengan wakil Singapura, Pang Ka Hoe dan Timothy Leong Yew Sing.

Pemain badminton negara telah menempah slot separuh akhir acara individu lelaki dan wanita.

Pasukan memanah negara menutup tirai kejohanan dengan mengutip pingat perak dalam acara recurve pasukan campuran menerusi pasangan Khairul Anuar Mohamad dan Nur Aliya Ghapar.

Secara keseluruhan, skuad memanah mengakhiri kempen KL 2017 dengan menyumbang lima emas, tiga perak dan dua gangsa. - BERNAMA

Advertisement