Anda di sini

SSM digesa kaji semula syarat pengecualian audit

Advertisement

Penetapan had kelayakan menyebabkan pengecualian tidak dapat dinikmati oleh lebih banyak PKS

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) semalam menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengkaji semula syarat kelayakan audit membabitkan kategori tertentu syarikat-syarikat swasta sejajar dengan ketetapan Akta Syarikat 2016.

 Menurut FMM, SSM sebaliknya wajar mengekalkan syarat syarikat berkelayakan nilai ambang dalam Arahan Amalan 1/2017 supaya lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat menikmati pengecualian audit itu.

 Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif FMM Dr Yeoh Oon Tean berkata di bawah Arahan Amalan 3/2017 bertarikh 4 Ogos, 2017, syarat kelayakan syarikat bagi pengecualian audit itu telah diperketatkan secara ketara.

 “Syarat itu telah diperketatkan yang mana membabitkan syarikat dengan pendapatan tahunan (syarikat) tidak melebihi RM100,000 dan jumlah aset kurang RM300,000 berbanding pendapatan tahunan tidak lebih RM300,000 dan jumlah aset kurang RM500,000 (sebelum ini).

 “Tindakan menetapkan had kelayakan sebegitu rendah akan menyebabkan pengecualian itu tidak dapat dinikmati lebih banyak PKS terutamanya dalam sektor perkilangan yang sepatutnya dibantu dari segi pengurangan kos menjalankan perniagaan,” katanya.

 Selain itu, Yeoh juga berharap SSM dapat membuat perbandingan serta berkongsi maklumat peratusan membabitkan pengeluar PKS yang dikatakan dalam anggaran 50,000 syarikat yang layak menikmati pengecualian itu serta syarikat yang tidak layak.

 “Isu ini amat penting untuk syarikat-syarikat kecil kerana (tindakan mengenakan) audit mandatori ini tidak memberi sebarang makna dan hanya mendatangkan kos tambahan,” katanya.

 Menurutnya, FMM juga mengalu-alukan inisiatif SSM untuk terus mempermudahkan aspek pematuhan, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan kawalan dalaman tadbir urus dan tanggungjawab korporat.

 “FMM berpandangan bahawa sebarang usaha mengurangkan beban perniagaan yang sewajarnya dan bila perlu, haruslah menjadi keutamaan,” katanya.

 Dalam satu kenyataan semalam, SSM berkata Akta Syarikat 2016 yang berkuat kuasa pada 31 Jan, 2017, memerlukan semua syarikat menyediakan serta melakukan audit ke atas penyata kewangan mereka sebelum laporan itu dikemukakan kepada SSM.

 SSM bagaimanapun berkata, di bawah Seksyen 267(2) akta tersebut, pihak Pendaftar Syarikat boleh mengecualikan beberapa kategori tertentu syarikatsyarikat swasta daripada melantik juruaudit dan mengenakan syarat-syarat itu dengan sewajarnya.

 “Sehingga 4 Ogos 2017, SSM telah mengeluarkan Arahan Amalan 3/2017 yang memberi penekanan bahawa syarikat swasta yang tidak aktif dan tiada pendapatan adalah layak untuk menerima pengecualian audit,” kata kenyataan itu.

 — Bernama

Advertisement