Anda di sini

Kejayaan ekonomi digital harus bermula dari akar umbi

Advertisement
 Mohamad Ari riazul melawat kilang sawit di Bekenu untuk sistem penggredan minyak sawit.
LIHAT SENDIRI: Mohamad Ari riazul melawat kilang sawit di Bekenu untuk sistem penggredan minyak sawit.

KEPADA golongan peniaga, Internet berperanan penting bukan sahaja untuk komunikasi bersama pelanggan tetapi juga cara memperluaskan keuntungan mereka di pasaran lebih besar.

 Pengasas Borneo Birds Nest Drink Meriamah Abdullah berkata, Internet telah menawarkan potensi besar dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang perdagangan.

 Pada masa sekarang edagang atau perdagangan elektronik sangat popular dalam kalangan peniaga kecil dan besar dengan memanfaatkan sepenuhnya aplikasi seperti Facebook, Instagram, Tweeter, WhatsApp dan WeChat.

 Meriamah berharap sasaran tiga tahun kerajaan negeri mahukan seluruh Sarawak dihubungi Internet akan tercapai kerana ia sememangnya memanfaatkan semua rakyat Sarawak bukan sahaja dari segi komunikasi tetapi juga peluang penduduk terlibat dalam e-niaga.

 “Kita menyokong usaha kerajaan membangunkan ekonomi digital.

 Kita mahukan pelaksanaan bukan omong-omong kosong sahaja.

 Sudah pasti dengan adanya jaringan Internet yang kuat akan menjadi landasan kepada pembabitan rakyat dalam e-dagang,” jelasnya.

 Meriamah berkata, sebagai peniaga, komunikasi secara talian amat penting dalam memperkenalkan dan memasarkan produk perniagaan mereka.

 Menerusi laman web, beliau berjaya memasarkan produk kepada pelangganpelanggan di Korea, Jepun, Taiwan dan China.

 “Dengan Internet, kita juga dapat berhubung dengan pembeli dan pelanggan kita.

 Kita perlukan online dan Internet lebih kuat,” jelasnya.

 Beliau berkata, kawasan bandar masih berdepan masalah Internet lemah ditawarkan syarikatsyarikat komunikasi yang perlu dinaik taraf dan dipertingkatkan kualiti perkhidmatan.

 “Kita amat berharap sasaran tiga tahun ini tercapai.

 Kerana ini menggalak peniaga kecil terlibat sama dalam perniagaan dalam talian dan ini pastinya menambah pendapatan mereka,” jelasnya.

 Meriamah mencadangkan agar kursus dan latihan tentang e-dagang diperluaskan penyertaannya kepada peniaga-peniaga kecil.

 “Kita perlu jelajah semua kawasan agar semua penduduk kenal apa tu e-dagang dan eniaga.

 Persatuan peniaga dan usahawaan harus bergabung mengenal pasti peniaga-peniaga berbakat dan berpotensi,” jelasnya.

 Meriamah yang turut merupakan pengusaha Gold Rabbit Farm mempromosikan produk menerusi laman web FB iaitu Syukurs Bird Nest Drink dan Gold Rabbit Farm.

 Beliau telah terlibat dalam perniagaan sarang burung dan daging arnab selama lebih enam tahun.

 Ladang arnab yang terletak di New Temedak Jalan Sin Bar Bintangor menternak sebanyak tujuh ribu ekor arnab dari baka New Zealand White.

 Selain dijadikan haiwan peliharaan, ladang turut mengeluarkan daging arnab, daging burger, sate, kompos organik serta menawarkan kursus penternakan arnab.

 Rebut peluang Secara umumnya, ekonomi digital adalah suatu hal yang kompleks dan merupakan fenomena baharu muncul terkait dengan aspek-aspek ekonomi mikro, ekonomi makro dan teori organisasi dan administrasi.

 Sasaran kerajaan sekarang dalam menumpukan ekonomi digital inovatif ialah merangsang kreativiti manusia dengan teknologi baharu, pasaran dan peluang-peluang.

 Ini akan menjadi pemangkin kepada inovasi dalam produk, perkhidmatan dan proses, meningkatkan produktiviti individu dan perniagaan selain melonjakkan daya saing dalam ekonomi digital global.

 Perancangan rapi dan penggunaan strategi digital yang berjaya adalah suatu kemestian bagi memastikan Malaysia terus dapat bersaing dan berjaya di arena antarabangsa.

 Pengusaha kek lapis Siti Payung, Mohd Hafi dz Rohani, 32, berkata era perniagaan kini berkembang pesat dan perniagaan boleh dilakukan di hujung jari.

 Dalam dunia digital sekarang, barangan dan perkhidmatan tidak lagi hanya boleh diperoleh dari kedai tetapi boleh terus dari kedai maya yang banyak dipromosikan di laman-laman sosial.

 “Peniaga dari Miri boleh berjual ke mana saja di seluruh dunia.

 Perniagaan tidak lagi statik.

 Sesiapa saja boleh berniaga hampir apa saja dan kepada semua golongan,” jelasnya.

 Hafi dz menambah, agensi kerajaan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang giat mempromosi perniagaan dan juga pengetahuan perniagaan online melalui inisiatif youcanduit.com.my.

 Inisiatif ini membantu ramai usahawan baharu dan usahawan belia.

 Usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan online dengan penubuhan pusat Alibaba patut dipuji dan disambut baik oleh rakyat Malaysia.

 Pengasas Alibaba Jack Ma juga bersedia berkongsi kepakaran dan Malaysia sebagai rakan strategik.

 Menurut beliau, penubuhan DFTZ atau Duty Free Trade Zone yang giat dipromosikan oleh SMECorp diharap dapat membantu usahawan IKS Malaysia yang mempunyai masalah untuk berniaga merentas benua untuk berkembang luas.

 Malah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga mempunyai fasiliti dan geran untuk membantu usahawan menggunakan platform e-commerce untuk mencari pelanggan baharu.

 Usahawan boleh mendapatkan geran sehingga RM5,000 yang boleh digunakan untuk melanggan perkhidmatan e-dagang seperti Alibaba dan Amazon.

 “Usahawan perlu merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dan menjadikan digital ekonomi serta e-dagang sebagai cara baharu memajukan perniagaan,” jelasnya.

 Tentang perusahaan kek lapis, Hafi dz berkata, promosi dan jualan dilakukan menerusi Facebook dan laman web.

 Sekarang, jumlah jualan secara talian meningkat 8 hingga 11 peratus dan mengeksport ke negara jiran Brunei dan Singapura.

 Hafi dz kini menubuhkan syarikat cetakan Miri Chrap Printing yang turut mendapat sokongan ramai pelanggan dari Brunei.

 Berusaha perbaiki diri Teknologi komputer yang diperkenalkan telah banyak mengubah corak dan gaya hidup.

 Kehadiran Internet bukan sahaja mengubah cara kita berkomunikasi dan memperoleh maklumat bahkan membawa perspektif baharu dalam dunia perniagaan.

 Dengan adanya Internet, usaha promosi dan penjualan produk usahawan lebih mudah.

 Bahkan, capaian kepada pembeli adalah lebih jauh berbanding zaman sebelum kewujudan media sosial, kata peniaga 1289 Burger Joint, Muhammad Ken.

 “Usahawan kini perlu rajin mengkaji dan mempelajari ilmu baharu sejajar dengan kemajuan industri jalur lebar sekiranya ingin maju dalam perniagaan.

 Kini banyak kursus dan latihan diberi kepada usahawan untuk membantu mereka.

 Kerajaan Sarawak juga banyak berusaha membuka peluang melalui aktiviti-aktiviti keusahawanan dan memberi pendedahan awal terutamanya kepada belia untuk menceburi bidang keusahawanan.

 Usahawan dan teknologi tidak boleh dipisahkan,” jelasnya.

 Ken menambah, selama berjinak menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan blog, capaiannya bukan sahaja kepada masyarakat setempat, malah di luar daerah pun sudah mula mengenali perniagaan walaupun belum pernah ke Miri.

 Bukan peningkatan ‘Like’ di page Facebook sahaja malah hasil jualan harian juga terkesan secara positif atas peningkatan ini.

 Di laman 1289 Burger Joint di Facebook, Ken terus memperkenalkan perniagaannya yang telah dimulakan sejak empat tahun lalu.

 Pembangunan modal insan Memberi pendapat, Ketua Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak Mohd Arifi riazul Paijo berkata, sektor ekonomi merupakan suatu sektor penting yang harus difokuskan sesebuah kerajaan.

 Ekonomi digital yang menjadi wawasan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg merupakan suatu cetusan idea yang penting untuk dilaksanakan dalam suasana ekonomi makro dunia yang semakin mencabar ini.

 Strategi pengurusan ekonomi yang tradisional merupakan asas, namun pendekatan yang dinamik perlu diterapkan dalam usaha untuk memastikan ekonomi kita terus relevan.

 Dalam konteks negeri Sarawak, beliau mencadangkan kerajaan negeri untuk memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang melibatkan pembangunan akademik anak-anak Sarawak dari peringkat sekolah rendah sehingga universiti perlu diterapkan nilai tambah khususnya yang berhubung kait dengan kemahiran.

 “Kita meyakini bahawa, sekiranya kita memiliki infrastruktur digital bertahap global pun tidak akan memberi sebarang impak sekiranya kita tidak mempunyai tenaga mahir untuk menggunakan aplikasi-aplikasi digital ini,” katanya.

 Kedua, dalam keghairahan pembangunan, kerajaan seharusnya juga memberi tumpuan kepada keupayaan rakyat untuk mengurus sumber alam dengan mampan terutamanya yang berkaitan dengan minyak dan gas, sumber hutan serta tenaga hijau seperti hidro.

 Ketiga, dengan meningkatkan capaian Internet di Sarawak merupakan antara keutamaan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan negeri.

 Mengikut perangkaan, capaian Internet Sarawak hanya sekitar 30% sahaja.

 Maka sesuatu yang tidak logik, sekiranya kerajaan negeri ingin fokus kepada ekonomi digital tetapi capaian Internet kita masih pada tahap yang terlalu minimum.

 Oleh yang demikian, usaha untuk mempertingkatkan infrastruktur komunikasi sama ada melalui gentian optik atau satelit.

 Bagi komuniti usahawan terutamanya yang berstatus Industri Kecil Sederhana (IKS) perkembangan ekonomi digital merupakan sesuatu yang dinantikan.

 Bagi IKS, dengan wujudnya ekonomi digital ini jurang pemasaran bagi IKS semakin hampir dan menjadikan pasaran semakin besar.

 Justeru, IKS yang berada di Sarawak perlu mengambil peluang ini dengan sebaiknya dan seterusnya akan menyihatkan lagi ekosistem ekonomi di Sarawak.

 Pemantauan Pembangunan ekonomi di setiap kawasan di negeri ini pastinya akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

 Bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memantau perkembangan pembangunan projek berkaitan ekonomi digital ini.

 “Banyak lagi maklumat yang harus kita tahu tentang ekonomi digital di Sarawak.

 Ini kerana ia masih di peringkat awal dan peringkat cadangan.

 Idea menubuhkan DBOS (Bank Pembangunan Sarawak) amat baik untuk Sarawak, tetapi kita masih lagi menunggu pelaksanaannya,” demikian jelas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri Steve Teo.

 Kerajaan negeri pada April lalu mengumumkan untuk memiliki bank sendiri dikenali Bank Pembangunan Sarawak yang beroperasi sepenuhnya di bawah biayaan kerajaan negeri.

 Bank bakal menyediakan dana bagi melaksana beberapa projek strategik negeri dalam usaha mengejar pelan transformasi sosioekonomi Sarawak bagi tahun 2017-2030.

 Sekiranya terlaksana, Steve yakin pembangunan ekonomi digital akan berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat khasnya luar bandar.

 “Sebelum mencapai impian besar, kita perlu utamakan dahulu keperluan asas penduduk khasnya di kawasan luar bandar.

 Kesimpulannya, ekonomi digital akan menjadi perkara baik sekiranya semua impian kita sebelum ini tercapai dan berjaya.

 Kita perlu melihat sesuatu pelan atau rancangan yang benarbenar pasti, membuat pemantauan berterusan untuk mengelak salah urus dan salah laku projek,” kata Steve.

  • oleh
  • Advertisement