Anda di sini

Ekonomi digital di depan mata, warga luar bandar tidak terlepas

Advertisement

BAHAGIAN II

 Golongan warga emas turut diajar menggunakan komputer di Pusat Internet 1Malaysia.
TIDAK KETINGGALAN: Golongan warga emas turut diajar menggunakan komputer di Pusat Internet 1Malaysia.

BAGI Sarawak, selain bergantung kepada ekonomi daripada hasil sumber asli, peralihan kepada ekonomi digital adalah melihat kepada perkembangan ekonomi global yang banyak bergantung kepada kemajuan teknologi. 

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Sarawak (JASA) Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang merupakan Ketua Menteri Sarawak keenam telah memperkenalkan ekonomi digital sebagai tunjang kepada sumber pendapatan baharu negeri.

Saya melihat keputusan Abg Johari untuk membelanjakan dana berbilion ringgit bagi meningkatkan kelajuan Internet adalah satu keputusan yang strategik. Ketika ini kita tahu bahawa kelajuan dan liputan Internet di kawasan luar bandar tidak memuaskan dan terhad. Ini mengakibatkan penduduk luar bandar tidak mendapat perkhidmatan Internet yang memuaskan serta agak ketinggalan berbanding penduduk bandar. 

Melalui ekonomi digital, potensi ekonomi luar bandar dapat ditingkatkan melalui perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi.

Rakyat dapat melakukan traksaksi urusan perniagaan secara atas talian seperti mempromosikan produk kampung dan produk pelancongan.

Selain itu, mereka juga dapat menikmati hiburan dan aplikasi telefon pintar yang pada masa kini hanya dapat dinikmati penduduk bandar dan sebahagian penduduk di pekan-pekan luar bandar. 

Lukanisman menambah, pada masa kini kerajaan pusat telah menyediakan perkhidmatan Pusat Internet 1Malaysia bagi menggantikan perkhidmatan kampung WiFi.

Bagaimanapun, perkhidmatan ini terhad di beberapa lokaliti dalam Parlimen Sibuti.

Kerajaan turut memberi sekitar 2,000 komputer riba 1Malaysia sejak 2011 tetapi akibat tiada liputan Internet di kebanyakan rumah panjang dan kampung, potensi penggunaan teknologi ini adalah sangat terhad. 

Digital ekonomi adalah berkisar kepada sejauh mana kemampuan rakyat Sarawak bandar atau luar bandar menggunakan sepenuh potensi Internet bagi meningkatkan produktiviti untuk menjana ekonomi.

Potensi besar bagi anak-anak muda dalam ekonomi digital adalah bakat-bakat bagi membina aplikasi mobil atau menceburkan diri dalam bidang administratif Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). 

Saya turut mencadangkan kepada Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pendidikan negeri untuk melihat modul pembelajaran bagi pengaturcaraan atau ‘coding’ komputer bagi membina software (perisian) dan aplikasi yang merupakan platform mewujudkan peluang pendapatan dan jutawan Internet,” ujarnya.

Beliau juga menyeru agar ramai golongan belia memberi perhatian kepada dasar ekonomi digital kerana potensi yang sangat luar biasa untuk diterokai dan peluang terbuka kepada penduduk luar bandar. 

Diharap dengan pelaburan kerajaan negeri membina `backbone’ (tulang belakang) Internet berkelajuan tinggi khusus untuk Sarawak serta mengambil berat faktor harga, perkhidmatan Internet kelak adalah pada kadar yang mampu milik dan murah.

Ketengah produk unik

Kita benar-benar menyokong usaha ekonomi digital kerajaan negeri dengan harapan semua prasarana akan menjadi kenyataan dalam masa tiga tahun,” demikian jelas Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang

Dengan adanya prasarana dijanjikan kerajaan negeri, beliau yakin usaha dan matlamat kerajaan negeri mahu seluruh Sarawak termasuk kawasan luar bandar memiliki jaringan dan kelajuan Internet yang kuat dan meluas akan tercapai.

Untuk kawasan Sibuti, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membantu memberi penerangan tentang manfaat Internet kepada penduduk termasuk memberi tunjuk ajar cara menggunakan Internet.

Ahmad Lai memberitahu, SKMM telah menubuhkan beberapa Pusat Internet di Sibuti sebagai pusat ilmu dan maklumat kepada masyarakat khasnya generasi muda untuk mendapatkan maklumat terkini termasuk ilmu.

Dibuka dua tahun lalu, Pusat Internet terdapat di Lambir, Kuala Sibuti dan Kampung Sepupok Niah. Jumlah pusat akan ditambah termasuk di rumah-rumah panjang di sekitar Sibuti.

Dengan adanya pusat ini, penduduk kita dapat belajar cara mengguna Internet, pencarian ‘link-link’ yang boleh memperdagangkan produk di tempat mereka seperti makanan, buah-buahan, ikan dan sebagainya diperkenalkan di Internet,” katanya.

Menurut beliau, antara produk unik berpotensi besar dipasarkan ialah pelbagai produk ikan seperti keropok, buah durian yang dianggap buah pelancongan yang hanya boleh didapati di Sibuti seperti durian kuning ukak, durian duri panjang dan durian susu.

Sibuti juga memiliki buah nangka nangcim iaitu gabungan nangka dan cempedak yang sememangnya sedap dan manis, digemari pelancong setiap kali datang ke Sibuti.

Elak pembaziran produk

Tidak dinafikan bahawa usaha untuk menaik taraf liputan Internet di luar bandar akan melonjakkan ekonomi luar bandar daripada kekayaan sumber mentah yang ada.

Peniaga boleh mengakses ke mana-mana potensi pasaran di luar negara untuk tujuan eksport khasnya online marketing (pemasaran dalam talian).

Ini sekali gus menggalakkan pengeluaran besar-besaran kerana kita telah mempunyai permintaan tinggi dari luar sekali gus mengurangkan pembaziran produk.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang juga ADUN Bekenu Rosey Yunus berkata, dari segi promosi, Internet memainkan peranan besar dalam mendekatkan pengguna dengan perkhidmatan dan barangan jualan yang ditawarkan.

Pembangunan ekonomi digital di luar bandar turut memberi impak positif terhadap sektor pertanian dan pelancongan.

Kita boleh perkenalkan tarikan melancong menarik di sini seperti gua Niah, gua Mulu dan tarikan baharu iaitu pantai Tusan yang terkenal dengan air mata biru dan batuan ‘drinking horse’.

Pantai-pantai cantik seperti Bungai, Peliau, Kuala Niah dan Kuala Sibuti serta aktiviti menyelam melihat keindahan batu karang di Sibuti juga mudah dipromosikan dengan pakej-pakej pelancongan melibatkan inap desa iaitu ‘homestay’ Kedayan di Bungai dan Kuala Sibuti serta homestay masyarakat Iban dan Melanau.

Jadi ini merupakan peluang yang melibatkan semua peringkat masyarakat. Jadi kita berterima kasih kepada Ketua Menteri atas usaha membangunkan ekonomi luar bandar menerusi ekonomi digital ini,“ jelas Rosey.

Ketika sambutan ulang tahun Hari Bandaraya Miri ke-12 pada 20 Mei lalu, Abang Johari yang diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan meminta rakyat untuk menerima perubahan bagi menggerakkan misi kerajaan negeri ke arah pembangunan ekonomi digital.

Abang Johari berkata, untuk mencapai hasrat itu juga, kerajaan negeri memperuntukkan bajet untuk menaik taraf kemudahan ICT.

Beliau memberitahu, antaranya penubuhan perkampungan digital di Kuching bertujuan menggalak penggumaan teknologi digital dalam kehidupan seharian.

Perniagaan harus dilakukan dalam talian untuk memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu juga, belia digalak untuk lebih inovatif dan kreatif agar lebih berdaya saing seiring kehendak dan perubahan dunia globalisasi.

 Produk hasil tangan dan makanan di Bekenu yang boleh dipasarkan.
BERPOTENSI: Produk hasil tangan dan makanan di Bekenu yang boleh dipasarkan.

Kurang penggunaan tunai

Kita tidak dapat mengabaikan kewujudan ekonomi digital kerana ia berada di hadapan mata kita. Sama ada kita suka atau tidak, ekonomi global telah digitalkan,” demikian jelas Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri, Abdul Samat Mohd Ali.

Seluruh dunia kini menuju ke arah ekonomi digital atau ekonomi Internet. Justeru, usaha kerajaan untuk menstranformasikan ekonomi tradisional ke arah ekonomi digital harus mendapat sokongan

Seseorang boleh menjalankan perniagaan sehari-hari di rumah tanpa perlu pergi ke bank untuk memohon draf bank atau membuat pemindahan dana.

Dan tidak lagi ada sempadan. Kemungkinan, antara lain kurangnya penggunaan tunai oleh isi rumah.

Bayangkan, menikmati sepinggan laksa Sarawak di gerai tanpa perlu membawa wang tunai kecuali mungkin `sejenis wang tunai’ atau kad debit untuk menjelaskan bil,” jelasnya

Samat menambah, perniagaan atas talian adalah cara terkini dan berkembang dengan pantas dan masyarakat tidak dapat mengatasinya.

Ia berkembang sama ada menerusi media tradisional iaitu televisyen serta media massa lain dan sudah tentunya Internet melalui media sosial.

Urusan perniagaan bernilai berbilion ringgit mampu ditutup dengan sekelip mata menerusi teknologi digital, membuktikan pengaruh besar dunia teknologi pada zaman sekarang.

Ketersediaan infrastruktur asas dengan jalur lebar berkelajuan tinggi bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli perniagaan tetapi juga penduduk luar bandar dan pelajar-pelajar di kawasan terpencil di negeri ini

Harapan kita yang paling besar adalah semua penduduk di kawasan bandar dan terpencil di negeri ini dapat menikmati faedah sama daripada pembangunan digital ekonomi.

Sekarang manfaat teknologi hanya dinikmati penduduk bandar pada tahap asas minimum seperti pembayaran secara kredit atau kad debit atau kad ATM dan perbankan atas talian, perniagaan dan membeli belah,” kata Samat.

Samat berkata, impian terbesar pengguna ialah menikmati perkhidmatan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

Tiada lagi ‘lagging’, ‘holding’ dan kekecewaan daripada masalah sambungan Internet yang perlahan,” jelasnya.

Beliau juga berharap, apa jua infrastruktur yang bakal dibangunkan untuk ekonomi digital, kos yang ditanggung pengguna adalah munasabah dan mampu untuk semua.

  • oleh
  • Advertisement