Anda di sini

Ubah IPG kepada bentuk vokasional kurang tepat

Advertisement

KENINGAU: Kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berhubung empat Institut Pengajian Guru (IPG) di Sabah diubah kepada bentuk vokasional dianggap satu kenyataan yang kurang tepat.

Pengerusi Biro Pendidikan UMNO yang juga AJK UMNO Bahagian Keningau Yazid Mohd Hasnan Tawik berpendapat pengubahsuaian keempat-empat IPG itu kepada institusi lain dan bukan lagi tempat latihan perguruan, adalah kurang tepat.

Ia kerana, jelasnya, anak tempatan Sabah masih ramai berminat menjadi guru bagi mengisi kekosongan guru di sekolah-sekolah terutama di kawasan pedalaman apabila mereka yang sedang berkhidmat akan bersara wajib atau berhenti sebagai guru atas faktor kesihatan.

“Saya rasa kenyataan Datuk Seri Masidi bahawa tidak lagi perlu ada empat IPG di Sabah adalah sesuatu yang agak mendukacitakan dan kurang popular,” katanya ketika menghubungi media pada Sabtu.

Masidi dalam kenyataannya baru-baru ini membayangkan tiada keperluan untuk Sabah mempunyai empat IPG pada ketika ini kerana Sabah sudah mempunyai guru terlatih yang mencukupi.

Beliau berkata, Sabah sudah mencapai tahap di mana mempunyai guru-guru yang mencukupi dan suatu hari nanti, hanya akan ada kekosongan apabila terdapat guru bersara, justeru tidak perlu melatih ramai guru.

Masidi yang juga ADUN Karanaan dan Exco Pendidikan negeri menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Likas Junz Wong dalam Persidangan DUN Sabah minggu lepas, yang inginkan penjelasan mengapa IPG di Tawau dan Sandakan perlu ditutup.

Beliau menjelaskan kedua-dua IPG itu tidak ditutup tetapi ditukar kepada pusat yang fokus kepada perkara lain. Sebagai contoh, ia boleh ditukar menjadi institusi yang menawarkan kursus vokasional bagi membolehkan lepasan pelajar mengambil kursus yang mudah dipasarkan.

Katanya, terlalu ramai orang menjadi guru hanya akan menyebabkan lebihan bekalan dan berisiko ramai daripada mereka tidak mendapat pekerjaan.

“Di Tawau IPG mempunyai kapasiti 1,300 tetapi pada ketika ini, Sabah hanya memerlukan 368 guru,” jelas Masidi.

Yazid berkata secara peribadi, keadaan negeri Sabah yang begitu luas masih ada keperluan untuk mengekalkan keempat-empat IPG di negeri ini.

“Memandangkan permohonan anak negeri Sabah yang berminat menjadi guru semakin bertambah dan juga bilangan pelajar terutama di kawasan pedalaman setiap tahun meningkat maka, ada keperluan untuk menambah bilik darjah termasuk bilangan guru.

“Jika sekarang keperluan guru tidak lagi mendesak dan mengurangkan pengambilannya, tetapi pada suatu masa keperluan guru akan berlaku, justeru IPG yang ada di Sabah tidak perlu diganti dengan institusi lain.

“Pertukaran fungsi IPG bagaimanapun jika dilakukan juga, tiada masalah tetapi nama IPG jangan diukar tetapi kekal teruskan nama itu,” katanya.

Menurut Yazid, terdapat keperluan lain terutama usaha menaiktaraf fizikal bangunan sekolah, jalan raya dan rumah-rumah guru di kawasan pedalaman dalam usaha memartabatkan pendidikan di Malaysia, khususnya di Negeri Sabah yang masih agak jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Advertisement