Anda di sini

Hiasi kereta dengan 100 helai bendera Jalur Gemilang

Advertisement
 Taza membetulkan bendera yang dipasang pada kenderaannnya ketika ditemui Bernama semalam. — Gambar Bernama
SEMANGAT KEMERDEKAAN: Taza membetulkan bendera yang dipasang pada kenderaannnya ketika ditemui Bernama semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Gelagat seorang lelaki yang menghiasi kenderaannya dengan hampir 100 helai Jalur Gemilang sering mendapat perhatian penduduk dan pengguna jalan raya, di sekitar bandar raya Ipoh, di sini.

Taza Alang Rahim, 55, yang mengusahakan sebuah kedai makan di Jalan Tasek, di sini, sanggup membelanjakan kira- kira RM1,000 untuk membeli Jalur Gemilang dan besi penyangkut bendera yang dipasang pada kereta Proton Saga Aerobacknya berusia lebih 20 tahun.

Beliau berkata sejak belasan tahun lagi beliau suka memasang bendera Jalur Gemilang, dulu pada basikalnya, dan kini pada di kenderaannya. Malah sejak empat tahun lalu Jalur Gemilang yang dipasang, tidak pernah ditanggalkannya.

Apabila saya memandu kereta ini keliling bandar raya Ipoh setiap hujung minggu, sama ada ketika memandu atau semasa berhenti di lampu isyarat, orang ramai tidak kira penunggang motosikal atau pemandu lori, akan mengambil gambar kereta ini.

Tidak ramai yang menghias kereta dengan bilangan bendera begitu banyak, malah saya pernah dituduh kurang siuman kerana memasang banyak bendera pada kereta tetapi sedikit pun saya tidak kisah dan berkecil hati,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Bapa kepada dua anak itu berkata beliau tidak kisah mengeluarkan belanja untuk menghiasi kenderaannya itu dan akan membeli yang baharu apabila ada bendera yang koyak atau sudah lusuh.

Saya hias Jalur Gemilang pada kereta ini bukan hendak menunjuk-nunjuk tetapi kerana semangat patriotik, sayang serta cintakan negara selain ia merupakan hobi dan minat memasang bendera sama ada pada kenderaan atau di halaman rumah.

Saya sebagai rakyat Malaysia berasa bangga dapat mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali saya memandu mengelilingi bandar raya Ipoh walaupun bukan pada Bulan Kemerdekaan.

Ini kerana apa yang saya lakukan ini tidak seberapa berbanding pemimpin terdahulu yang berusaha keras untuk mendapatkan kemerdekaan sehinggakan kita bebas daripada penjajah dan kini kita rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman dan harmoni,” katanya. — Bernama

Advertisement