Anda di sini

Mahkamah tolak rayuan Menteri Dalam Negeri

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan bahawa The Edge Communications Sdn Bhd boleh menuntut ganti rugi daripada Menteri Dalam Negeri untuk kerugian yang dialami semasa dua penerbitannya digantung selama tiga bulan pada 2015.

Ketika membuat keputusan itu, mahkamah menolak rayuan oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan untuk membenarkan The Edge menuntut ganti rugi daripada kedua-dua pihak.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri dan ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai merit.

Beliau berkata rayuan berhubung dengan isu liabiliti tidak timbul.

Mahkamah juga disidangi oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Berikutan keputusan ini, perkara tersebut akan dirujuk kembali ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi. Perkara itu ditetapkan bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Pada 25 Jan tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan Menteri Dalam Negeri untuk memfailkan rayuan mengenai tiga persoalan undang-undang berhubung isu pemberian ganti rugi kepada The Edge.

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan, berkuat kuasa 27 Julai, 2015 berhubung penyiaran artikel berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perintah itu di dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Sept, 2015 yang membenarkan permohonan The Edge bagi semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi juga mengarahkan penilaian kerugian yang dialami oleh The Edge.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Menteri Dalam Negeri terhadap perintah Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.

Mahkamah Rayuan tidak mendengar penghujahan mengenai kesahihan perintah penggantungan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana perkara itu bersifat akademik memandangkan tempoh penggantungan telah luput.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching mewakili Kementerian Dalam Negeri sementara peguam Darryl Goon mewakili The Edge. — Bernama

Advertisement