Anda di sini

15 pelajar kolej vokasional direman 4 hari

Advertisement

Tiga pelajar dipukul kerana tidak ikut arahan senior, kejadian ketiga di kolej sama tahun ini

KUALA TERENGGANU: Seramai 15 pelajar sebuah kolej vokasional di sini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kes buli membabitkan tiga pelajar di kolej tersebut.

Perintah itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu  Roszita Md Saad di sini semalam.

Kesemua pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh selepas dipercayai terlibat membuli tiga pelajar tahun satu dan dua di kolej berkenaan dalam tiga kejadian dengan yang terkini pagi kelmarin.

Dalam kejadian 1.30 pagi kelmarin, dua pelajar tahun satu yang berusia 16 tahun, mendakwa mengalami kecederaan di beberapa anggota badan setelah dipukul oleh beberapa pelajar senior dengan seorang daripada mangsa kini dirawat di  Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada keengganan kedua-dua mangsa mengikut arahan pelajar senior.

Satu lagi kes membabitkan pelajar tahun dua berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul oleh kumpulan pelajar yang sama ketika berada di surau pada jam 9.30 malam sebelum dipukul sekali lagi di asrama kolej kira-kira sejam kemudian dalam kejadian Isnin lalu.

Akibat kejadian, mangsa turut dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu  Shafruddin Ali Hussin berkata kolej terbabit telah diberi tempoh 10 hari untuk melakukan siasatan dalaman dan menyerahkan laporan terperinci mengenai kejadian kepadanya.

Tiga hari diberikan untuk laporan pertengahan dan tujuh bagi bagi laporan penuh… laporan yang dibuat itu akan mengikut prosedur operasi standard. Kita bagaimanapun menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Selain itu, beliau turut meminta pihak sekolah supaya lebih proaktif dan cakna dengan mengambil tindakan pantas terhadap insiden yang berlaku.

Jangan tunggu kejadian ditular baharu hendak ambil tindakan selanjutnya… pihak sekolah juga perlu bekerjasama dengan pihak polis bersabit kejadian itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang melahirkan kekesalan kerana insiden kelmarin adalah kali ketiga berlaku di kolej berkenaan untuk tahun ini sahaja.

Beliau yang ditemui selepas melawat kesemua mangsa terbabit di HSNZ,  berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan kolej terbabit mengambil tindakan yang sewajarnya agar kes buli tidak terus berulang.

Selain itu A. Latif berkata sepanjang tahun ini sehingga semalam, Terengganu merekodkan 16 kes buli melibatkan fizikal membabitkan 45 pelajar di seluruh negeri. — Bernama

Advertisement