Anda di sini

Serap bahasa Kedayan dalam bahasa kebangsaan

Advertisement
 Awang Tengah (empat kiri) bersama Hasbi (dua kiri), Abu, Asfia, Bashir, Ripin, Sufian, Paulus dan kenamaan lain bergambar bersama pemenang pertandingan junjung (gerai/pondok) semalam.
KAYA BUDAYA: Awang Tengah (empat kiri) bersama Hasbi (dua kiri), Abu, Asfia, Bashir, Ripin, Sufian, Paulus dan kenamaan lain bergambar bersama pemenang pertandingan junjung (gerai/pondok) semalam.

Ia bagi memastikan bahasa ini terus dinamik dan tidak pupus seperti berlaku pada bahasa Latin

LIMBANG: Perbendaharaan kata dalam bahasa Kedayan perlu diserap dalam bahasa kebangsaan bagi memastikan bahasa utama itu terus dinamik dan tidak pupus seperti berlaku pada bahasa Latin.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata masyarakat Kedayan mempunyai bahasa indah untuk diserap ke dalam bahasa kebangsaan.

Bahasa kebangsaan harus dinamik dan tidak statik dengan menyerap perbendaharaan kata daripada bahasa Kedayan ke dalam bahasa kebangsaan,”

Jelasnya, ia penting bagi memastikan bahasa kebangsaan terus subur dan tidak seperti bahasa Latin yang dulu diguna sebagai bahasa perundangan, kini semakin pupus.

Beliau berkata demikian pada Makan Tahun Perdana 2017 dan Perasmian Dewan Serba Guna Kampung Pahlawan yang bernilai RM1 juta di sini semalam.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar,Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia Datuk Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah,  ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Lambir Ripin Lamat, Ahli Dewan Negara  yang juga Timbalan Ketua UMNO Labuan Senator Datuk Bashir Alias, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Timbalan Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Labuan Datuk Aini Safar, pengerusi pengelola Makan Tahun Perdana Penghulu Abu Tinggal dan Ketua Kampung Pahlawan Bungsu Tambah.

Awang Tengah juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan serta Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua menjelaskan, adalah penting bagi kaum Kedayan terus mempertahankan nilai-nilai budaya adat resam yang dapat menguatkan lagi identiti mereka.

Kerajaan negeri katanya, mengadakan Simposium Budaya setiap lima tahun untuk menonjolkan tidak kurang  30 suku kaum dan  kumpulan etnik yang mempunyai adat resam, loghat dan budaya berbeza di negeri ini.

Kita dapat hidup harmoni walaupun berbeza budaya. Perbezaan ini menjadi kekuatan kita untuk saling bekerjasama dan bersatu malah harus dipertahan kerana menjadi asas kepada kestabilan yang begitu penting demi masa depan,” katanya.

Tegasnya aspek bahasa, pakaian dan cara hidup perlu dikekal serta tidak terpengaruh dengan idea ekstrem mengagung pakaian dan kebudayaan  asing.

Katanya adalah menjadi tanggungjawab golongan muda untuk meneruskan kesinambungan budaya dan nilai hidup agar tidak lenyap dibawa arus perubahan zaman moden.

Amat penting bagi generasi muda mengetahui, mempelajari dan meneruskan kesinambungan nilai murni dan budaya yang menggambarkan kehidupan kaum Kedayan kerana ia merupakan identiti masyarakat tersebut,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan geran kerajaan sebanyak RM40,000 kepada Persatuan Kedayan Limbang (PKL) dan peruntukan daripada Asfia sebanyak RM10,000.

  • oleh
  • Advertisement