Anda di sini

Pekebun lada disaran mengusahakan lada secara organik

Advertisement

JULAU: Pekebun lada di negeri ini disaran mengusahakan lada secara organik yang kini menguasai harga pasaran dunia.

Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum berkata lada organik adalah alternatif kepada lada hitam dan lada putih yang menerima banyak permintaan.

Lada organik ditanam tanpa menggunakan baja kimia dan racun perosak dapat memberi kesan kepada buah lada.

Selain itu, kaedah pemprosesan daripada penuaian sehingga pengeringan dilakukan penuh teliti bagi mengelak buah bercampur dengan pasir, kulit kering atau debu,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Enchana Ugak, Entaih, Entabai, di sini.

Menurut Salang, jika pekebun lada berjaya mengusahakan lada organik secara tidak langsung Lada Sarawak mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Di samping itu, beliau menasihati pekebun lada agar tidak berputus asa sehingga membuatkan lada terbiar kerana harga lada tidak menentu pada masa sekarang.

Selain itu, jangan terburu-buru menjual semua simpanan lada yang ada jika harga lada tiba-tiba naik.

Tetapi, kita perlu menunggu sehingga harga tersebut meningkat lebih tinggi suatu hari nanti,” katanya.

Jelasnya, statistik permintaan pasaran dunia untuk lada adalah 420,000 tan setahun dan setakat ini 360,000 tan telah dihasilkan.

Salang yang mempunyai kebun lada sendiri berkata, beliau dimaklumkan oleh Lembaga Lada Malaysia bahawa pihak terbabit sedang melakukan penyelidikan meningkatkan penanaman lada.

Mereka sedang mengkaji kaedah pemprosesan lebih baik selain mengkaji alternatif lain menggantikan kayu belian yang kini sukar diperolehi,” ujarnya.

Beliau turut meminta Lembaga Lada Malaysia menghalang pengimportan lada dari Vietnam, Indonesia atau China yang kemudiannya diproses di negara ini sebelum dijenamakan semula sebagai Lada Sarawak.

Di Vietnam, mereka menghasilkan lada sepanjang tahun tanpa bergantung kepada musim dan dihasilkan mengikut kualiti yang dikehendaki.

Kita tidak tahu kaedah dan cara penanaman digunakan mereka. Apabila lada dieksport sebagai Lada Sarawak ini memburukkan reputasi negara,” katanya.

Salang turut menghadiri majlis sama di Rumah Sumping dan Rumah Meru selepas Rumah Enchana.

Advertisement