Anda di sini

Pewartaan kawasan rabies ditarik balik dalam tempoh dua tahun

Advertisement

TAIPING: Proses penarikan balik pewartaan kawasan penyakit anjing gila atau rabies hanya akan dilakukan jika tiada sebarang kes tempatan dikesan pada mana-mana spesies haiwan atau manusia selama tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak Dr Fuziah Muhayat berkata ia tidak digalakkan ditarik dalam masa yang terdekat memandangkan punca kuasa semua aktiviti kawalan penyakit rabies ini terkandung dalam pewartaan tersebut.

“Sekiranya terdapat pengasingan lyssa virus (penyebab penyakit rabies), pewartaan tersebut akan diteruskan sehingga sampel yang diambil adalah negatif sekurang-kurangnya dua tahun.

“Perkara ini juga bercanggah dengan Terrestrial Animal Health Code (OIE) yang mensyaratkan tempoh bebas adalah selepas dua tahun kes terakhir yang dilaporkan bersama semua syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, tempoh pengawasan serta kawalan mengambil masa yang lebih lama bagi memastikan kawasan berkenaan bebas daripada ancaman rabies.

Dr Fuziah berkata bagaimanapun, status keadaan penyakit berkenaan akan terus dipantau secara berkala melalui program survelan yang telah dijalankan. 

“Pada masa ini, 44 sampel telah dibuat (rabies). Itu termasuk yang pertama iaitu positif.  Jadi dalam kes ini hanya tiga sampel yang belum selesai,” katanya.

Setakat ini, JPV Perak menyuntik vaksin terhadap 127 ekor anjing dan 242 kucing dengan jumlah pemilik haiwan berkenaan sebanyak 108 orang.

Pada 17 Julai lepas, kerajaan Perak melalui Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mewartakan mukim Matang dalam daerah Larut Matang dan Selama sebagai kawasan penyakit anjing gila atau rabies.

Beliau berkata pewartaan itu dikeluarkan di bawah Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila yang berkuat kuasa pada hari berkenaan.

Pada 12 Julai lepas, seekor anjing mati akibat rabies iaitu lapan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang. — Bernama

Advertisement