Anda di sini

KR1M Lahad Datu jual barang pada harga yang lebih rendah

Advertisement

LAHAD DATU: Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Lahad Datu masih menjual barangan pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

Ketua Cawangan Daerah Lahad Datu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Hamat Talip berkata berdasarkan pemantauan harga barangan yang dilakukan setiap bulan premis itu masih rendah.

“Hasil pemantauan setiap bulan, cawangan KR1M di sini masih menawarkan barang-barang keluaran syarikat pada harga yang munasabah.

“Ia sejajar dengan konsepnya yang menjual pelbagai barangan keperluan asas dengan harga yang rendah di lokasi bandar,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini pada Khamis.

Menurut Hamat, KR1M di daerah ini merupakan cawangan kesembilan daripada 11 cawangan yang diwujudkan di Sabah dan lebih kurang 250 produk dijual dengan harga yang murah.

Katanya, KR1M menawarkan harga murah pada produk jualannya kerana penjimatan dari segi kos pengiklanan antara 20 hingga 30 peratus dengan pembungkusan yang mempunyai label generik 1Malaysia.

Penawaran harga murah di KR1M juga disokong dengan aktiviti pembelian secara pukal daripada pengusaha Industri Kecil Sederhana tempatan.

Mengenai kegiatan ‘orang tengah’ yang telah menyebabkan beberapa harga barangan dijual tinggi di pasaran, KR1M Lahad Datu tidak menjual barang-barang itu.

Tinjauan Utusan Borneo juga mendapati tidak ada barangan bahan makanan seperti ikan basah dijual di premis itu.

28 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan KPDNKK menangani isu orang tengah yang mengambil keuntungan berlebihan khususnya bahan makanan seperti ikan.

Katanya, tindakan orang tengah menyebabkan kenaikan harga barangan makanan dan telah membebankan rakyat.

Advertisement