Anda di sini

Gading: Sabah dapatkan kerjasama dari Indonesia

Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  Sabah akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung rampasan gading gajah di negara itu baru-baru ini yang didakwa dibawa dari Sabah.

Menterinya Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya akan mengarahkan pegawainya untuk bekerja rapat dengan pihak berkuasa negara jiran berkenaan bagi mendapat gambaran tepat dan jelas berhubung perkara berkenaan.

“Setakat ini belum dibuktikan bahawa gading gajah berkenaan berasal dari Sabah,”katanya kepada pemberita di sini semalam selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Hari Malaysia 2017.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian rampasan satu gading gajah di Nunukan, Indonesia baru-baru ini.

Gading seberat 2.7 kilogram berkenaan dirampas dari seorang lelaki rakyat Indonesia yang mendakwa membelinya di Malaysia pada harga RM1,500. Mengenai dakwaan kononnya ada pengusaha industri pelancongan tempatan di Sabah menghidangkan makanan daripada sumber binatang liar yang dilindungi di negeri ini kepada pelancong asing, Masidi berkata jika dakwaan itu benar, pelaku berkenaan boleh dianggap sebagai ‘pengkhianat’.

“Kalau ada orang Sabah terlibat membunuh binatang yang dilindungi sepenuhnya bagi tujuan sajian makanan kepada pelancong, saya boleh katakan mereka adalah pengkhianat. Kita adalah antara negeri yang paling beruntung di dunia.

“Kita ada binatang dilindungi yang tidak didapati di negeri lain. Tuhan begitu pemurah kepada Sabah dengan kekayaan flora dan faunanya. Tetapi kalau rakyat sendiri pun menjadi pemusnah kepada semua pemberian Tuhan ini, maka saya tidak boleh kata apa-apa lagi,” katanya.

Masidi berkata, perbuatan memusnahkan alam semula jadi yang sepatutnya dijaga sebaik-baiknya untuk generasi akan datang boleh dianggap sebagai tiada semangat cintakan negeri sendiri dan negara. — Bernama

Advertisement