Anda di sini

Dua jemaah Malaysia terima penghargaan di Masjidil Haram

Advertisement

MEKAH: Dua jemaah Malaysia merupakan orang paling gembira pada Rabu apabila diberi penghargaan bertemu Imam Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudais oleh pihak pengurusan masjid.

Mohamad Khair Jamaen dan Wan Suhaimi Wan Abdul Hamid adalah antara 10 jemaah daripada pelbagai negara, yang  mendapat kejutan istimewa itu pada satu majlis ringkas yang diadakan di pekarangan masjid berkenaan.

Kedua-dua jemaah Malaysia itu cukup bertuah kerana daripada jutaan jemaah, mereka terpilih secara rambang untuk turut menerima hadiah, masing-masing senaskhah al-Quran, sejadah dan sebotol air zam zam yang disampaikan Imam Sheikh Dr Abdul Rahman.

Sekumpulan wartawan Malaysia dalam rombongan Tabung Haji (TH) yang berada di Tanah Suci untuk membuat liputan haji musim 1438 Hijrah, termasuk penulis, kebetulan melalui kawasan itu dan turut berpeluang menyaksikan majlis istimewa berkenaan.

Bagi Mohamad Khair dari Seremban, beliau bersyukur kerana dapat bertemu dengan imam yang dihormati itu walaupun pada mulanya beliau agak bimbang telah melakukan kesalahan apabila diiring pengawal untuk ke suatu tempat tanpa diberitahu tujuannya.

“Ketika saya hendak mula menunaikan solat Maghrib, tiba-tiba mereka (pegawai keselamatan Masjidil Haram) membawa saya pergi ke suatu tempat.

“Saya tidak pasti apa yang berlaku dan tertanya-tanya jika saya ada melakukan kesalahan,” katanya. Kesemua 10 jemaah yang bertuah itu dibawa ke satu sudut di pekarangan Masjidil Haram dan menunaikan solat Maghrib di situ terlebih dahulu. Wartawan Malaysia berkenaan terserempak dengan isteri, Norazah Mohamad, 47, yang dipisahkan dengan suaminya itu dengan penghadang yang dikawal oleh pasukan keselamatan masjid.

Norazah ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan risau terhadap apa yang berlaku ke atas suaminya, dan cuba berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara Wan Suhaimi dari Kelantan, berkata sepanjang berada di tempat itu, beliau tidak dapat menghubungi isterinya, Nadzrimah Moktar, 40, yang terpisah ketika masing-masing hendak menunaikan solat Maghrib.

“Saya terkejut apabila pegawai keselamatan masjid membawa saya ke suatu tempat di sebuah pintu masuk masjid, namun ia suatu yang tidak disangka-sangka kerana berpeluang bertemu dengan imam berkenaan secara peribadi,” katanya yang bertugas sebagai pegawai teknologi di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan di laman web rasmi Masjidil Haram, majlis penghargaan itu merupakan sebahagian daripada kempen ‘Serving the pilgrims is an honour for us’(Berkhidmat untuk jemaah haji adalah satu penghormatan bagi kami) Masjidil Haram. — Bernama

Advertisement