Anda di sini

‘Makan Malam di Awangan’ tarikan pelancongan terbaharu: Masidi

Advertisement
 Meja pesawat berada di awangan setelah dinaikkan dengan kren.
50 METER DARI ARAS LAUT: Meja pesawat berada di awangan setelah dinaikkan dengan kren.

KOTA KINABALU: Produk pelacongan terbaharu ‘Makan Malam di Awangan’ atau ‘Dinner in the Sky’ dilihat akan membantu meningkatkan lagi kehadiran pelancong di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata beliau percaya, jika produk itu ditawarkan dalam beberapa pakej tertentu, ia pasti mampu menarik lebih ramai pelanggan untuk merasai pengalaman baharu untuk makan malam di awangan.

“Jika dilihat kebanyakan pelancong China datang ke Sabah kerana ingin menikmati pemandangan matahari terbenam, laut dan makanan yang ada di sini. Namun, saya berasakan kita perlu tampil dengan produk lain bagi menarik pelancong.

“Sekiranya pelancong China ini datang bersama keluarga dan ingin mencuba sesuatu yang baharu maka, mereka boleh mencuba pengalaman Makan Malam di Awangan.

“Ini adalah satu produk pelancongan yang unik dan belum pernah dibuat, dan terima kasih kepada syarikat TwoSpicy Entertainment kerana membawa produk berkenaan ke sini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran ‘Dinner in the Sky’ di Marina Sutera Harbour, di sini malam Selasa.

Masidi berkata, pemilihan Sabah jelas menunjukkan keyakinan syarikat berkenaan terhadap industri pelancongan di Kota Kinabalu.

Katanya, walaupun negeri ini memang dikenali dengan produk semula jadi, namun penggiat industri perlu tampil dengan produk baharu.

Berkenaan aspek keselamatan pula, pelanggan tidak perlu khuatir kerana ia diberi keutamaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Arvin Randahwa berkata tiga hari sebelum pelancaran dilakukan, mereka sudah menerima hampir 30 peratus tempahan.

“Ternyata publisiti mengenai produk Dinner in the Sky ini sudah dikenali kerana ia pernah dibuka di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebelum ini.

“Untuk menikmati hidangan makan malam ini, pelanggan boleh membuat pilihan untuk menaiki ‘meja pesawat’ yang pertama bermula jam 6-7 malam untuk pemandangan matahari terbenam, mahupun pesawat kedua pada 7.30-8.30 malam bagi menikmati pemandangan bandar raya pada waktu malam.

“Menu yang disajikan adalah makanan Itali yang terdiri daripada tiga hidangan termasuk hidangan utama. Pelanggan boleh memilih salah satu daripada hidangan utama yang terdiri daripada ayam, daging, ikan mahupun sayuran (untuk vegetarian),” katanya.

Arvin berkata orang ramai tidak akan berasa takut dengan ketinggian kerana apabila berada di atas, mereka sibuk makan. Cef dan muzik yang dimainkan akan membuatkan pelanggan lupa mereka berada di tempat tinggi.

Dengan membayar harga RM349 (termasuk gambar) pada Isnin-Jumaat, pelanggan boleh menikmati makan malam pada ketinggian 50 meter dari aras tanah. Harga pada hujung minggu adalah RM399 setiap seorang termasuk sekeping gambar bercetak.

Produk pelancongan ini akan berada di Sabah selama sebulan bermula pada Selasa.

Tempahan boleh dibuat melalui kaunter di Marina Sutera Harbour mahupun Pacific Sutera. Tempahan secara online boleh layari laman web www.dinnerinthesky.my.

Advertisement