Anda di sini

Clever Girl musim kedua, mulai malam ini di TV3

Advertisement
__alt__

PROGRAM realiti TV3 yang menampilkan gadis-gadis pintar dari seluruh Malaysia, Clever Girl kini kembali dengan musim keduanya.

Misi pencarian 14 orang gadis pintar untuk membuktikan kecekapan berfikir mereka telah pun berakhir pada awal bulan Mei lepas.

Pada musim lalu, kita telah menyaksikan Fatin dari Kelantan dinobatkan sebagai juara. Kali ini, gadis dari negeri manakah yang bakal bergelar juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000?

Terbuka kepada peserta wanita yang berada dalam lingkungan usia 18 hingga 30 tahun, Clever Girl Malaysia mempunyai konsep yang berbeza daripada program realiti lain di mana program ini lebih mengetengahkan konsep intelektual.

Memasuki musim baharu, Clever Girl Malaysia masih akan menilai prestasi dan kebolehan setiap peserta berdasarkan kemampuan mereka untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan.

Setiap soalan yang dikemukan kepada 14 peserta ini telah pun diluluskan oleh pihak Mensa. Para peserta yang bakal bersaing untuk musim ini juga mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza.

Penonton setia sudah pastinya tidak sabar untuk menyaksikan siapakah 14 orang gadis yang bakal bersaing di pentas Clever Girl Malaysia kali ini.

Lebih menarik lagi, Clever Girl Malaysia musim kedua ini dibawakan khas oleh Sayangku Ratna, Jangan Berhenti Memuji oleh Serai Mas Herbs Trading selaku penaja utama.

Program ini turut menampilkan Nin Jiom, Ubat Batuk Cap Ibu dan Anak sebagai penaja bersama, dan disokong oleh tonton sebagai Geng Digital, Harian Metro dan New Straits Times sebagai Geng Media dan Hot FM sebagai Geng Radio.

Program Clever Girl Malaysia yang dihoskan oleh Alif Satar ini merangkumi tiga segmen utama.

Dalam Pusingan Pertama, para peserta perlu menjawab 10 soalan, di mana setiap soalan bernilai 5 markah.

Sementara itu, markah bagi Pusingan Kedua pula adalah antara 10 hingga 100 markah, dan ianya berbeza mengikut soalan-soalan yang telah ditentukan.

Untuk Pusingan Penentuan: Juara Mingguan, dua peserta yang berada dikedudukan teratas akan berentap untuk menjawab soalan yang dikemukakan dengan pantas.

Peserta yang berjaya di dalam Pusingan Akhir ini akan membawa pulang hadiah mingguan serta diberi Imuniti.

Dua peserta dengan markah terendah harus bersaing dalam Pusingan Penentuan; Penyingkiran, di mana mereka mungkin akan dinilai menerusi ketangkasan dan kemahiran mereka untuk menyelesaikan ujian IQ.

Seorang peserta yang berjaya menyelesaikan soalan dengan paling pantas dan tepat akan terselamat daripada tersingkir.

Program Clever Girl Malaysia juga menyediakan talian hayat yang memberi peluang kepada para penonton unruk mengambil bahagian dalam program ini dengan membantu para peserta menjawab soalan-soalan yang sukar di Pusingan Penentuan: Penyingkiran.

Terdapat dua cara untuk melakukan demikian iaitu menerusi laman web www.tv3.com.my/clevergirl atau dengan hashtag #clevergirlmy di laman sosial Twitter.

Dengan melayari www.tv3.com.my/clevergirl, para penonton akan dibawa ke skrin yang memaparkan soalan tersebut dan boleh memilih jawapan objektif A,B,C atau D.

Di platform Twitter pula, para penonton hanya perlu menggunakan hashtag #clevergirlmy dan memberikan pilihan jawapan #A, #B, #C atau #D. Sebagai contoh, #clevergirlmy #C.

Lebih seribu orang peserta telah menghadiri peringkat pertama sesi uji bakat yang telah berlangsung selama enam minggu di The Zenith Hotel, Kuantan, Pahang (1 April), Klagan Regency Hotel, Kota Kinabalu, Sabah (8 April), Merdeka Palace, Kuching, Sarawak (15 April), Persada Johor Convention Centre, Johor (22 April), Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang (29 April) dan Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor (6 & 7 Mei).

Krew penerbitan diketuai oleh Nazatul Fariz Mohd. Aziz sebagai penerbit eksekutif dan Shazreena Mohd. Kassim sebagai penerbit.

Siapakah antara 14 orang gadis ini layak menjadi ‘Clever Girl’ yang seterusnya?

Jangan lupa untuk berikan sokongan kepada wakil negeri anda dalam Clever Girl Malaysia yang akan bersiaran secara langsung bermula hari ini (4 Ogos 2017) dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Jumaat selama satu jam bermula dari jam 9 malam di TV3 manakala siaran ulangan setiap hari Khamis, jam 2 petang.

Selain itu, pelbagai hadiah menarik turut boleh dimenangi oleh para penonton di rumah yang ingin merasai pengalaman menjawab kuiz seperti 14 peserta program ini.

Anda boleh menyertai kuiz mingguan ini dengan melayari laman web www.tv3.com.my/clevergirl.

Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/clevergirl dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.

Para penonton juga boleh menyaksikannya melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my.

Advertisement