Anda di sini

Bauksit: 9 kakitangan PTG Pahang direman seminggu

Advertisement
 Sembilan Anggota Penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dibawa Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Kompleks Mahkamah Kuantan bagi permohonan reman selama tujuh hari atas dakwaan perlombongan bauksit secara haram di Kuantan, semalam. — Gambar Bernama
REMAN: Sembilan Anggota Penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dibawa Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Kompleks Mahkamah Kuantan bagi permohonan reman selama tujuh hari atas dakwaan perlombongan bauksit secara haram di Kuantan, semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Sembilan penolong penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan berkaitan perlombongan bauksit haram di sini.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membenarkan permohonan tahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu yang dikemukakan menerusi Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fadhly Mohd Zamri.

Semua suspek yang berusia antara 29 hingga 59 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, perbuatan disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti perlombongan haram.

Mereka ditahan di sekitar daerah ini pada jam 3.30 hingga 3.45 petang kelmarin dan dibawa ke Kompleks Mahkamah di sini pada jam 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Mereka adalah daripada 10 individu yang ditahan dalam operasi khas SPRM yang diadakan ekoran aktiviti perlombongan itu masih berjalan walaupun kerajaan telah mengenakan tempoh moratorium sehingga 31 Dis depan.

Turut ditahan ialah seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) berusia 56 tahun, yang telah direman sehingga 8 Ogos.

Dalam operasi itu, SPRM turut menahan 18 buah lori yang sedang mengangkut bauksit dari lombong haram sekitar Bukit Goh dan Bukit Sagu di sini.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya mengesahkan bahawa pihaknya  memantau kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu. — Bernama

Advertisement