Anda di sini

Lelaki mengaku salah ugut adik kandung

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap adik kandungnya.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Jusef Ricky Jugah, 24, dari Tanjung Batu 1C Padang Kerbau di sini didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap adik perempuannya, Christina Jugah dengan cara mengacukan sebilah pisau dan parang panjang ke arah mangsa, yang boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.50 petang, 25 Julai lalu di sebuah rumah sewa di Pujut Tanjung Batu di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mahkamah Majistret menggenakan denda RM4,000 atau tiga bulan penjara ke atas seorang lelaki kerana kesalahan memiliki tiket-tiket loteri haram.

Foo Chi Leong, 35, dari Taman Friendship di sini telah didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan ke, tertuduh didapati ada memiliki 11 keratan kertas putih tercatat nombor ekor haram berangka 10,000 digit loteri sebagai loteri awam haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.40 petang, 22 Julai lalu di sebuah premis di Kampung Desa Jaya, Lambir di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement